Guna konsep FIFO untuk tentukan haram, bersih wang dalam

Guna konsep FIFO untuk tentukan haram, bersih wang dalam akaun Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner (ACP) Foo Wei Min memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa AS$681 juta (RM2.081 bilion) yang memasuki akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berakhir dengan nombor 9694 adalah `haram’.

Wang tersebut berasal daripada akaun sebuah syarikat pelaburan, Tanore Finance Corp. (Tanore) di Singapura dan dibuka di Falcon Private Bank yang mana pemilik manfaatnya (beneficial owner) adalah Tan Kim Loong. Kim Loong merupakan sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Menurut saksi pendakwaan ke-48 itu, dalam mengenal pasti sama ada sesuatu harta yang disiasat adalah haram atau bersih, beliau menggunakan kaedah “First In, First Out” (FIFO).

“Pada awalnya, saya akan menentukan sama ada wang yang masuk ke dalam Akaun AmBank 9694 adalah ‘haram’ atau ‘bersih’. Wang haram ditentukan berdasarkan transaksi kemasukan daripada Tanore ke dalam Akaun AmBank 9694 manakala wang ‘bersih’ pula adalah wang yang sememangnya wujud atau pun daripada sumber lain yang tidak berkaitan 1MDB.

“Penerimaan wang haram Tanore sebanyak AS$681,000,000 iaitu RM2,081,476,926 ke dalam Akaun AmBank 9694 dapat diasingkan dengan wang daripada sumber lain dan juga wang yang sedia ada dalam akaun ini. 

“Saya mengambil kira kemasukan wang dari tarikh mula akaun dibuka. Kemudian saya tolak jumlah tersebut dengan penggunaan wang oleh Datuk Seri Najib berdasarkan transaksi pada penyata akaun Ambank 694. Ia ditolak sehingga wang yang mula-mula masuk di dalam akaun tersebut habis digunakan,” katanya ketika membaca pernyataan saksinya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Wei Min menyatakan, setiap transaksi pengeluaran wang daripada Akaun AmBank 9694 akan menolak wang bukan perolehan yang tidak berkaitan dengan wang Tanore yang diterima daripada sumber lain dahulu sehingga wang tersebut habis digunakan. 

“Bagi tujuan siasatan kes ini, wang sedia ada yang digunakan adalah dianggap ‘bersih’. Penggunaan seterusnya selepas wang ‘bersih’ adalah penggunaan wang ‘haram’. Maka, pengeluaran wang seterusnya akan menolak wang haram dalam Akaun AmBank 9694 sehingga wang jumlah yang sama habis digunakan. 

Sekiranya terdapat lagi transaksi kemasukan wang bukan perolehan Tanore selepas itu, maka, pengeluaran seterusnya akan menolak wang yang diterima terbaru tersebut. Prinsip ‘Benefit of Doubt’ diberikan kepada pemegang akaun bank dengan kaedah FIFO ini kerana setiap transaksi yang dikenal pasti wang haram adalah wang haram semata-matanya,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan FIFO, keseluruhan wang di dalam akaun 9694 sebelum wang daripada Tanore digunakan, habis digunakan pada tarikh 2 Ogos 2013. 

“Penggunaan wang selepas daripada tarikh ini adalah dikira sebagai penggunaan wang hasil daripada dana yang diperoleh daripada Tanore iaitu bermula pada tarikh 2 Ogos 2013,” kata saksi itu.

Wei Min membaca pernyataan saksi itu dalam perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN