Guan Eng ungkit cadangan pembangkang cetak wang jika tak cukup

Parlimen: Guan Eng ungkit cadangan pembangkang cetak wang jika tak cukup

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen daripada parti DAP mengungkit bagaimana seorang pemimpin pembangkang sebelum ini mencadangkan supaya kerajaan mencetak lebih banyak wang, jika tidak mempunyai wang cukup untuk membantu rakyat. 

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, cadangan itu dikhuatiri memberi kesan buruk malah membuatkan ekonomi negara lingkup pada masa akan datang. 

Beliau ketika itu menyatakan sokongan dan keperluan untuk negara melaksana undang-undang berkaitan kewangan dan tanggungjawab fiskal bagi mengelak amalan ketidakbertanggungjawaban kerajaan dalam pengurusan kewangan. 

Katanya, Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal sudah lama dirancang sejak pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018, namun tidak sempat direalisasikan akibat rampasan kuasa kerajaan di peringkat Persekutuan. 

Beliau kemudian menyentuh soal pentadbiran kerajaan terdahulu yang telah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk mendepani pandemik Covid-19, sehingga membuatkan kerajaan kehabisan wang. 

“Sebanyak RM530 bilion dibelanjakan sampai Perdana Menteri atau kerajaan masa sudah tiada duit. Sungguh pun begitu banyak wang dibelanja, tetapi rakyat tidak menikmatinya sampai perlu kibar bendera putih.

“Kita masih ingat masa susah di bawah kerajaan masa itu dan itulah bagi saya betapa penting kita ada undang-undang seperti ini supaya jika ada kerajaan tidak bertanggungjawab seperti ini, mereka tidak buat kerajaan bankrap kerana sikap tidak bertanggungjawab ini. 

“Kita kena berhati-hati kerana kalau tidak, ada cadangan dilontar mereka…kalau kerajaan tiada duit masa itu tidak mengapa, kita boleh cetak wang bagi sama rakyat. Kalau buat cadangan macam ini habislah, hancurlah, lingkuplah sistem kewangan dan ekonomi negara. 

“Itu sebab rakyat buat keputusan tolak sama kerajaan yang tidak guna itu supaya pilih Kerajaan Perpaduan,” katanya semasa membahaskan usul RUU Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu dibentang bacaan kali kedua oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan. 

Guan Eng tidak menamakan secara khusus mengenai perkara itu, namun ia dikaitkan dengan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan cadangan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengenai ‘cetak wang’. 

Ahmad Fadhli Shaari [PN-Pasir Mas] kemudian bangkit mencelah Guan Eng untuk menjelaskan maksud dalam hujahannya. 

Ahmad Fadhli: Bagan kena namakan supaya orang itu boleh nafikan.

Guan Eng: Yang saya namakan ialah jiran dan Yang Berhormat Machang (Wan Ahmad Fayhsal), beliau sebut cetak wang bagi sama rakyat kalau kerajaan tidak ada wang. 

Pada 2020, Wan Ahmad Fayhsal dilaporkan mencadangkan dasar kewangan ‘wang helikopter’ dengan bank pusat secara langsung mencipta iaitu mencetak wang dan memberinya kepada rakyat supaya dapat membelanjakannya.

Susulan itu, beberapa pihak membantah idea tersebut kerana tidak mampu membantu merancakkan ekonomi negara sebaliknya menyebabkan inflasi. 

Beliau mempertahan cadangan itu dengan memetik pakar Modern Monetary Theory (MMT) yang menekankan bahawa mencetak wang semata-mata tidak boleh menjadi penyebab inflasi.

Wan Ahmad Fayhsal bagaimanapun menafikan mencadang supaya kerajaan mencetak lebih banyak wang, sebaliknya, berlaku salah faham berhubung hal itu sehingga ada pihak membuat andaian palsu. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya