Graduan UM didenda RM5,000 aibkan VC ketika konvokesyen

Graduan UM didenda RM5,000 aibkan Naib Canselor ketika konvokesyen

WONG Yan Ke tiba di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi keputusan kes mengaibkan bekas Naib Canselor Universiti Malaya. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini mengenakan denda RM5,000 atau tiga bulan penjara terhadap seorang graduan Universiti Malaya (UM) kerana mengaibkan bekas Naib Canselornya, Datuk Ir. Dr. Abdul Rahim Hashim dalam istiadat konvokesyen, empat tahun lalu.

Majistret Illi Marisqa Khalizan memutuskan Wong Yan Ke, 27, bersalah selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Ketika menyampaikan keputusannya, Illi Marisqa berpuas hati bahawa graduan kejuruteraan awam itu gagal mematahkan kes pendakwaan kerana mahkamah tidak diyakinkan bahawa tertuduh tidak berniat melakukan perbuatan tersebut.

“Mahkamah tidak bersetuju dengan pembelaan bahawa tertuduh tidak mempunyai pilihan kecuali mengutarakan pandangannya, golongan mahasiswa dan kesatuan universiti dan pensyarah sewaktu majlis konvokesyen.

“Mahkamah tidak yakin bahawa tertuduh tidak mengetahui perbuatan tersebut boleh mendatangkan amarah Naib Canselor dan mengganggu keamanan dan ketenteraman tetamu semasa konvokesyen.

“Pelbagai cara boleh dilakukan sebelum berbuat sedemikian. Alasan tersebut tidak dapat menjustifikasikan perbuatannya dan tidak dapat menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan,” ujar beliau.

Pada Februari 2020, Yan Ke mengaku tidak bersalah mengaibkan Dr. Abdul Rahim yang ketika itu Naib Canselor UM sehingga mendatangkan kemarahan beliau dan tetamu pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-59 di Dewan Tunku Canselor di sini pukul 10 pagi pada 14 Oktober 2019.

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama dan membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam kejadian itu, Yan Ke didapati membawa plakad ke dalam Dewan Tunku Canselor UM untuk mendesak pemimpin universiti meletakkan jawatan sambil melaungkan perkataan ‘Tolak Rasis’, ‘Undur VC’ dan ‘Ini Tanah Malaysia’.

Ia ditujukan kepada Dr. Abdul Rahim yang menurut graduan itu telah menggunakan nama UM untuk politik kaum dan kepentingan parti semasa Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu (PKMM) UM.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman meminta pertimbangan mahkamah agar menjatuhkan hukuman yang berat kerana kes tersebut telah berjalan dalam tempoh yang panjang.

Ujarnya, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dengan perbuatan tersebut sebagai peringatan supaya tidak berlaku lagi perbuatan biadap dalam majlis rasmi seperti itu.

Pihak pendakwaan memohon hukuman demikian sebagai peringatan kepada golongan anak muda supaya menjaga batasan bagi mengelak perkara di luar batas moral oleh pihak yang dikatakan berpendidikan tinggi, berulang.

Sementara itu, peguam T. Sashi Devan memohon anak guamnya tidak dipenjarakan, sebaliknya dikenakan denda minimum bagi membolehkannya mengikuti pembelajaran yang dijadualkan bermula minggu depan.

“Individu yang dihina dalam kes ini bukanlah orang awam tetapi Naib Canselor yang berpengaruh dan seorang penjawat awam berposisi tinggi yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Tertuduh tidak mengeluarkan perkataan yang kesat terhadap Naib Canselor atau menyatakan perkataan bersifat perkauman, sebaliknya mengeluarkan peringatan supaya barisan pentadbiran tertinggi UM harus menjaga keharmonian perkauman,” ujar peguam.

Hujah Sashi Devan, pihak universiti yang melaporkan insiden itu yang membawa kepada pertuduhan terhadap Yan Ke, telah menawarkan anak guamnya untuk melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dalam Jurusan Keadilan Jenayah di Fakulti Undang-Undang.

Menurut peguam bela, keterangan tertuduh di mahkamah jelas menunjukkan tiada isu yang memecahkan keamanan dan ketenteraman di UM atau di seluruh negara ketika atau selepas kejadian.

“Pihak UM juga tidak membuat laporan kecederaan atau kerugian harta benda universiti atau mana-mana pihak lain,” ujar beliau.

Sashi Devan selanjutnya berhujah, anak guamnya yang tidak mempunyai rekod jenayah dan masih bujang bekerja sebagai pegawai penyelaras di Suara Rakyat Malayaia (Suaram) dengan pendapatan RM3,800 sebulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN