PETALING JAYA: Penduduk Gaza bakal berdepan kebuluran, malah mungkin ada yang terpaksa makan rumput untuk terus hidup.
Keadaan itu bakal mengulangi sejarah penderitaan rakyat Palestin pada tahun 2007-2008 jika rejim Zionis berterusan melancarkan serangan ke bumi Gaza.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, serangan zionis terhadap penduduk Gaza kali ini sangat berbeza berbanding sebelum-sebelum ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri berkata, ini adalah kali pertama serangan dilakukan ketika penduduk Gaza sedang berhadapan kekurangan keperluan asas termasuk makanan, air bersih dan bekalan elektrik.
“Berbeza dengan di Malaysia, air bersih di Palestin harus dibeli namun akibat kehabisan diesel, lori-lori tidak dapat bergerak untuk menghantar air bersih yang sudah diproses dari telaga ke kedai-kedai.
“Pada masa sama, zionis memotong bekalan elektrik dan mengebom sempadan di Rafah, jadi tiada bantuan dapat dihantar terus ke Gaza buat masa ini,” katanya.
Menurut Muhammad Nadir, kehidupan penduduk di Gaza dengan ‘dihujani’ roket-roket zionis bukan suatu masalah terhadap mereka namun melihat anak-anak kecil kehausan dan kelaparan adalah suatu yang tidak boleh diterima.
“Makanan ruji penduduk Gaza adalah roti, namun kerana stok bekalannya yang terhad mereka terpaksa beratur panjang setiap hari untuk membeli makanan tersebut. Dalam masa sama, jumlah kedai bakeri semakin berkurangan kerana turut menjadi sasaran roket rejim zionis.
“Jika keadaan ini berlanjutan untuk jangka masa lama, penduduk Gaza mungkin akan berdepan krisis kebuluran,” katanya sambil memberitahu sempadan Rafah masih belum dibuka walaupun Israel berjanji berbuat demikian semalam.
Untuk rekod Muhammad Nadir yang juga Pengerusi MyAqsa Defender menetap di Gaza sejak lebih 10 tahun lalu namun kini berada di tanah air sebelum Israel melancarkan serangan.
Tiada seinci pun bumi Palestin yang selamat
Sementara itu, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali ketika ditemubual Utusan Malaysia di pejabat kedutaan itu di Kuala Lumpur memberitahu, buat masa sekarang situasi di Gaza terlalu teruk dan tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Katanya, buat masa sekarang tiada seinci pun bumi Palestin yang selamat kerana semua sudut geografi di sana menjadi sasaran Israel.
“Untuk pengetahuan awak, tiada rakyat Palestin yang kebal daripada serangan Israel. Rakyat sengsara dan cedera tapi banyak komuniti antarabangsa yang masih senyap, melihat dan tidak berbuat apa-apa apabila Israel menyerang Palestin serta berlaku pembunuhan beramai-ramai tanpa mengira wanita atau bayi.
“Situasi memang sukar dipercayai tetapi inilah yang berlaku sekarang. Hampir 500,000 sudah diarah tinggalkan Gaza. Masalahnya apabila rakyat Palestin berpindah, ada pula yang menyerang dan bunuh mereka. Sehingga beberapa minit sebelum sesi wawancara ini pun, masih terdapat lagi serangan di sana,” katanya.
Setakat ini lebih 12,000 orang cedera, lebih 4,000 orang terbunuh dan angka ini akan terus meningkat sekiranya rejim Israel terus melancarkan serangan.
Harga barang di Gaza semakin mahal
Sementara itu, rakyat Malaysia di Gaza, Nurul Ain Haron, 37, memberitahu, harga barang di Gaza semakin hari semakin melambung disebabkan kekurangan bekalannya.
Ia menyebabkan golongan penduduk tempatan yang tinggal sehelai sepinggang tidak lagi mampu untuk membelinya.
Menurut beliau, bukan saja harga makanan naik mendadak malah turut membabitkan tong gas, petrol, diesel dan air bersih.
“Harga satu tong gas di sini sebelum ini adalah sekitar 60 shekel (RM70), sekarang sudah melebih 100 shekel (RM117). Harga air bersih pula 1,000 liter 35 shekel (RM41.25).
“Bayangkan, macam mana orang-orang yang tinggal sehelai sepinggang dengan rumah dah hilang, tiada bantuan dari dunia luar untuk teruskan kehidupan. Saya dan suami cuma dapat bantu semampu kami sahaja setakat ini,” katanya.
Nurul Ain berkata, dia dan suaminya, Mohamed Adan Shaat, 33, kini menumpukan untuk memberi bantuan bekalan air bersih kepada golongan memerlukan memandang bekalannya semakin berkurangan dan harganya semakin meningkat.
“Alhamdulillah dapat berbicang dengan pemilik kedai dan dia bersetuju untuk kami ambil dahulu bekalan air dan membayarnya kemudian kerana akaun bank peribadi saya disekat mungkin sebab terlalu ramai yang menyumbang.
“Tetapi masalah itu sudah diselesaikan kerana ada sahabat di Malaysia akan mengumpulkan dana menggunakan NGO (badan bukan kerajaan) miliknya dan disalurkan kepada saya melalui akaun perbankan antarabangsa,” katanya.
Bantuan belum dapat disalurkan
Bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin masih belum dapat disalurkan setelah hampir 48 jam dua Exco Pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) tiba di Kaherah, Mesir.
Memberitahu Utusan Malaysia, Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan berkata, pihaknya masih menguruskan hal berkaitan dokumentasi perjalanan ke Gaza yang menyebabkan kelewatan menyalurkan bantuan.
“Dokumen lengkap untuk meneruskan perjalanan ke Gaza sangat penting berdasarkan pengalaman kami sebelum ini, jadi kita memang kena fokus untuk lengkapkan dahulu sementara menunggu kebenaran dari kerajaan Mesir,” katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan, pihak MCM masih dalam proses berunding dengan Kerajaan Mesir untuk menyalurkan bantuan kecemasan bernilai RM412,000 kepada penduduk Gaza di Palestin yang terjejas teruk akibat serangan rejim Zionis Israel.
Mereka tiba di Kaherah, Mesir pada pukul enam petang waktu tempatan semalam dan sedang mengatur strategi bagi menyalurkan bantuan ke Gaza secepat mungkin.
Bantuan fasa ketiga kali ini berfokus kepada pembelian ambulans dan perubatan untuk disalurkan mangsa-mangsa perang di Palestin.
Trak kemanusiaan mula masuk Gaza
Dalam pada itu, AP memetik seorang pegawai kerajaan Mesir melaporkan, sejumlah trak yang membawa bantuan kemanusiaan sudah memasuki Gaza melalui lintasan Rafah.
Bantuan itu dijangka memberi kelegaan kepada kira-kira 2.3 juta penduduk Gaza yang sebelum ini terputus bekalan asas selepas diserang tentera Israel.
Sebelum ini, Presiden As, Joe Biden memaklumkan sebanyak 20 trak akan masuk ke Gaza kelmarin, namun lintasan Rafah tidak dibuka kerana struktur jalannya perlu dibaiki. – UTUSAN