KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri masih tidak dapat menguatkuasakan garis panduan pemakaian sukan patuh syariah dalam kalangan atlet Terengganu kerana terikat dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan badan sukan antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Karim berkata, bagaimanapun, usaha mendidik atlet agar mematuhi Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang dilancarkan pada tahun 2020 tetap diteruskan.
Menurutnya, pemakaian atlet yang sepatutnya patuh syariah mengikut garis panduan itu terpaksa diubah suai kepada pendekatan yang lebih lembut.
“Kita gunakan pendekatan berhemah kerana kalau nak patuh syariah tu agak sukar dilaksanakan sepenuhnya (contohnya dalam sukan berbasikal).
“Jadi kita mendidik atlet agar pakaian yang dikenakan adalah mesra syariah. Kita didik perlahan-lahan dan beri kesedaran kepada atlet berbanding langkah penguatkuasaan yang tegas,” katanya ketika ditemui pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Terdahulu, dalam sesi soalan lisan, Dr. Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi (Pas – Sura) bertanyakan mengenai standard pemakaian menutup aurat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri pada setiap acara sukan dan program-program yang dilaksanakan badan bukan kerajaan di Terengganu.
Dalam pada itu, Hishamuddin yang juga Ahli DUN Tepoh berkata, kerajaan negeri telah memuktamadkan untuk tidak menyertai acara gimnastik wanita dan gimrama pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 akan datang kerana masalah pakaian yang tidak patuh syariah.
“Masalahnya, pakaian (atlet wanita) adalah terlalu ketat dan menampakkan bentuk tubuh mereka. Buat masa ini kita tak teruskan (sukan gimnastik). Kita tak akan berkompromi dalam perkara ini dan pendirian ini perlu dihormati.
“Kita tidaklah benci sukan itu namun dalam masa yang sama tidak akan membiarkan atlet kita berpakaian sebegitu kerana tidak tidak sesuai.
“Bagaimanapun garis panduan tersebut hanya tertakluk kepada atlet Muslim sahaja manakala atlet bukan Islam tidak terikat dengannya,” tambahnya. – UTUSAN