Gangnam Toast mudah dibuat, 5 minit boleh siap - Utusan Malaysia

Gangnam Toast mudah dibuat, 5 minit boleh siap

GANGNAM Toast yang dijual semasa Festival Budaya Putrajaya 2023, baru-baru ini.-UTUSAN/AMIN AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IDEA menghasilkan Gangnam Toast bermula sejak Zarina Raif melancong ke Seoul, Korea Selatan. Pengalaman melihat juadah itu dijual tepi jalan seperti burger di Malaysia membuatkan dirinya teruja cuba menjualnya di negara sendiri.

Walaupun hidangannya kelihatan mudah dan ringkas seperti sandwich biasa, namun, menu itu mendapat permintaan tinggi pelanggan.

Bertitik-tolak daripada itu, beliau bersama dua adiknya memberanikan diri menjual menu tersebut dengan lebih berfokus menyertai mana-mana penganjuran acara di negara ini.

Baru setahun menjalankan operasi, perniagaan Gangnam Toast yang diusahakan tiga beradik itu sudah menyertai pelbagai karnival di seluruh negeri.

Menyediakan dua menu pilihan iaitu ayam atau daging, juadah ini juga sangat sesuai untuk dicuba dan dimasak sendiri di rumah. Hanya mengambil masa selama lima minit sahaja untuk disiapkan.

BAHAN-BAHAN:

*Minyak atau marjerin
*Bawang merah
*Garam
*Lada hitam
*Dua atau tiga keping roti sandwich
*Sebiji telur
*Segenggam sayur kubis
*Segenggam lobak merah

CARA PENYEDIAAN:

1. Panaskan api dalam suhu sederhana.

2. Bagi penyediaan inti, letakkan minyak atau marjerin atas permukaan kuali.

3. Letakkan campuran sayur kubis dan lobak merah yang sudah digaul bersama telur, bawang merah, garam dan lada hitam terlebih dahulu. Selepas permukaan bawah sudah masak, terbalikkan ia.

4. Bakar roti yang sudah disapu marjerin atas kuali dan pastikan tidak terlalu garing. Terbalikkan roti agar kedua-dua bahagian bertukar kuning keemasan.

5. Letakkan inti yang sudah dimasak berbentuk segi empat ke atas permukaan roti.

6. Letakkan mayonis, sos istimewa (boleh ganti sos cili biasa) dan kepingan keju pada bahagian pertama roti.

7. Letakkan sekeping roti di bahagian tengah. Kemudian, letak daging atau ayam cincang, sayur kubis serta sos istimewa dan mayonis.

8. Akhir sekali, letakkan kepingan roti terakhir sebelum dibungkus dalam pembalut kertas.

9. Selepas dibungkus, potong kepada dua bahagian. Satu hidangan sudah cukup mengenyangkan dan sesuai dikongsi dengan teman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN