GEORGE TOWN: Galeri Haji Pulau Pinang telah berjaya menarik kira-kira 10,000 orang pelawat dari dalam dan luar negara sejak dibuka sembilan tahun lalu.
Kakitangan Yayasan Islam Pulau Pinang yang menguruskan Galeri Haji Pulau Pinang, Siti Khairani Abd. Jalil berkata, pada 2015 Galeri Haji Pulau Pinang yang merupakan galeri haji pertama di negara ini telah dirasmikan oleh tokoh Islam bertaraf dunia iaitu Mufti Ismail Menk.
Katanya, sejak pembukaannya galeri berkenaan menarik perhatian pelawat yang terdiri daripada kerabat diraja, duta negara asing serta pembesar negara malah galeri berkenaan turut dilawati oleh mereka yang mahu mencari susur galur keturunan syeikh haji yang menguruskan jemaah haji menggunakan kapal laut.
”Sejak pembukaannya, galeri ini telah menarik perhatian pengunjung dari dalam dan luar negara, kira-kira 10,000 orang telah melawat galeri ini.
”Galeri ini juga menjadi menarik minat keturunan syeikh yang menjadi ejen haji dengan menggunakan kapal laut, namun setakat ini kami tidak mempunyai dokumentasi lengkap mengenai golongan syeikh haji ini.
”Difahamkan, susur galur keturunan syeikh haji ini mempunyai kaitan dengan sheikh haji dari Mekah yang juga menguruskan hal ehwal jemaah haji Mekah, kami akan berusaha untuk mencari informasi mengenai sheikh-sheikh haji untuk dipaparkan di galeri ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut, Siti Khairani, keunikan utama muzium ini terletak pada bangunannya iaitu No 87 Lebuh Acheh yang pernah digunakan sebagai pusat haji dan pejabat urusan jualan tiket kapal haji yang telah beroperasi dari tahun 1828 hingga tahun 1960-an.
“Pulau Pinang pernah digelar sebagai “The Second Jeddah” dan ia menunjukan peranan Pulau Pinang sebagai perlabuhan haji yang penting sebelum tahun 1828 sama seperti perlabuhan di Jeddah, Arab Saudi.
”Pada masa dahulu jemaah haji menunaikan haji menggunakan kapal laut.Catatan menunjukkan Pulau Pinang telah memainkan peranan sebagai pelabuhan haji sebelum tahun 1828 dalam catatan kitab Thufat al-Nafis.
“Peranan ini menjadi penting pada tahun-tahun berikutnya dan dianggarkan lebih 5,000 jemaah menunaikan haji melalui Pulau Pinang termasuk jemaah dari Thailand dan Sumatera, kemudiannya peranan ini diambil alih oleh Lembaga Tabung Haji pada 1976,” katanya.
Tambahnya, Galeri Haji Pulau Pinang itu mempunyai sekitar 40 koleksi barangan haji yang dipamerkan untuk tontonan masyarakat bagi mengetahui mengenai proses mengerjakan haji pada zaman dahulu yang mengguna kapal laut.
Katanya, antara koleksi penting yang sering menjadi tumpuan ialah tong sahara di mana tong kayu itu adalah seperti bagasi bagi para jemaah haji yang menggunakan kapal laut.
”Kebanyakkan pelawat galeri ini mencari tong sahara kerana mereka pernah melihat tong sahara ini ketika menghantar moyang, atau datuk nenek mereka menunaikan haji dengan menggunakan kapal laut.
”Selain itu terdapat buku “Chateten ka-Tanah Suci”, poskod, syiling lama, kiswah dan koleksi gambar-gambar kapal haji yang telah membawa jemaah haji ke Tanah Suci Mekah turut dipamerkan di galeri ini,” katanya. – UTUSAN