Gajah liar musnahkan tanaman penduduk dipindahkan - Utusan Malaysia

Gajah liar musnahkan tanaman penduduk dipindahkan

GAJAH liar dinamakan Yob Jagor (tengah) dipindahkan Perhilitan Perak dalam operasi di Kampung Jagor, Gerik semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Seekor gajah liar yang menimbulkan kebimbangan penduduk Kampung Jagor di sini, akhirnya berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah jantan seberat 1.8 tan itu ditangkap dalam operasi oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG), Ahad lalu.

Katanya, aduan mengenai kehadiran mamalia yang dinamakan Yob Jagor itu diterima Jun lalu setelah dikatakan merosakkan tanaman penduduk.

“Kawalan dijalankan UTG daerah Gerik di kawasan kampung itu selepas menerima aduan kemusnahan tanaman penduduk membabitkan kerugian RM10,000.

“Yob Jagor berjaya ditangkap Ahad lalu dan operasi memindahkan haiwan itu dilakukan semalam dengan melibatkan keseluruhan 25 anggota,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam operasi itu, anggota Perhilitan dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) terpaksa berjalan kaki lebih empat kilometer (KM) untuk memindahkan gajah berkenaan.

Katanya, keadaan jalan yang berlumpur dan berbukit menyebabkan kenderaan berat yang digunakan untuk membawa keluar haiwan itu tidak dapat masuk ke lokasi tangkapan.

“Dua ekor gajah denak Sanum dan Cheri digunakan untuk memujuk dan menarik gajah liar berkenaan. Gajah liar itu akan dipindahkan ke Santuari Gajah Sungai Deka, Terengganu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya