Firma guaman RDS mohon kebenaran 1MDB dedah dokumen sulit

Firma guaman RDS mohon kebenaran 1MDB dedah dokumen sulit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Firma guaman, Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS) memohon kebenaran daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mendedahkan dokumen sulit dan terlindung kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dokumen itu dipercayai berkaitan perjanjian penyelesaian antara Goldman Sachs dan Kerajaan Malaysia berhubung isu bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam M. Puravelan yang mewakili RDS kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa anak guamnya sudah memohon kebenaran 1MDB untuk menyerahkan dokumen terbabit kepada SPRM, semalam.

Firma tersebut dalam surat bertarikh semalam, menulis kepada 1MDB iaitu bekas anak guamnya untuk memohon persetujuan dan autoriti bagi mendedahkan dokumen sulit dan terlindung setakat mana relevan dengan permohonan itu.

Ketika ini, SPRM sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan penyelesaian dimeterai antara kerajaan dan Goldman Sachs mengenai isu 1MDB.

SPRM memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi memaksa RDS dan sebuah lagi firma guaman menyerahkan beberapa dokumen berkait siasatan penyelesaian antara Goldman Sachs dan kerajaan berhubung isu bon 1MDB .

Dalam permohonannya, SPRM menamakan Chetan Jethwani, 46, dan firma guamannya, Chetan Jethwani & Co serta peguam Rosli Dahlan, 62, dan firma RDS masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Permohonan SPRM terhadap firma Chetan Jethwani & Co. ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin semalam manakala permohonan terhadap firma RDS pula ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim K. Muniandy hari ini.

Pengurusan kes ditetapkan pada 9 November ini.

SPRM memohon kedua-duanya mengemukakan 10 dokumen antaranya surat pelantikan sebagai peguam Goldman Sachs (Chetan) dan 1MDB (Rosli), penyata akaun serta akaun syarikat.

Dokumen diminta SPRM adalah untuk mengenal pasti pelantikan kedua-dua responden sebagai peguam yang bertindak bagi pihak Goldman Sachs dan 1MDB dalam urusan penyelesaian dengan pihak kerajaan bagi isu 1MDB.

Dokumen itu juga diperlukan bagi mengenal pasti peranan serta tindakan responden-responden yang disyaki bersubahat bersama Goldman Sachs.

Selain itu, dokumen itu diperlukan untuk mengenal pasti transaksi penerimaan wang rasuah serta aliran dan lapisan wang yang berlaku dari akaun Goldman Sachs ke akaun dua firma guaman berkenaan.

Pada 6 Oktober lalu, dua pegawai SPRM masing-masing hadir di dua pejabat firma guaman berkenaan dan memberi penerangan berkaitan kes serta proses siasatan yang memerlukan pihak SPRM melaksanakan pemeriksaan serta penggeledahan untuk mendapatkan dokumen.

Dua pegawai berkenaan mengemukakan perintah di bawah Seksyen 31(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) iaitu perintah untuk memeriksa, menggeledah dan menyita.

Bagaimanapun, kedua-dua responden memberitahu bahawa mereka tidak dapat memberikan dokumen yang diminta kerana tertakluk kepada Seksyen 46 Akta SPRM 2009 bersama Seksyen 126 Akta Keterangan 1950.

Dalam afidavitnya, Chetan Jethwani menyifatkan keseluruhan tindakan undang-undang itu sebagai percubaan SPRM untuk memintas keistimewaan hubungan peguam dan anak guam.

Katanya, tindakan itu sekali gus dilakukan dengan niat jahat dan untuk mendapatkan kelebihan tidak adil dalam pertikaian berterusan antara kerajaan dan Goldman Sachs.

Rosli adalah bekas peguam kes 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa menyeleweng RM2.3 bilion.

Sementara Chetan adalah peguam kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kes sivil, manakala Rosli mewakili bekas Perdana Menteri itu dalam kes berkaitan projek Jana Wibawa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN