PETALING JAYA: Filem mengenai perjalanan konsert penyanyi popular Taylor Swift, 33, The Eras Tour bakal ditayangkan di Malaysia bermula 3 November ini.
Perkara tersebut disahkan pihak panggung, TGV dan GSC menerusi platform media sosial mereka semalam.
Filem Konsert The Eras Tour merakam perjalanan muzik Taylor Swift menerusi 10 album yang pernah dihasilkannya sebelum ini.
Taylor membawakan lagu-lagunya bermula dengan genre pop country menerusi album Fearless sehingga album terkininya, Midnight.
Peminat boleh mula membeli tiket bermula 18 Oktober ini di semua cawangan.
Pada 27 September lepas, peminat Taylor yang digelar Swifties kecewa apabila Malaysia tidak tersenarai sebagai lokasi tayangan filem konsert Taylor Swift.
Ketika itu wakil produksi filem ini dengan pengedarnya masih melakukan perbincangan.
Kini, peminat boleh membeli tiket bermula dengan RM65 di semua lokasi GSC manakala RM155 untuk pengalaman menonton di ruangan Aurum Theatre.