Festival Tarian Kebudayaan bantu promosi seni tari tradisional

Festival Tarian Kebudayaan bantu promosi seni tari tradisional

T. KUMARASAMY menyampaikan sijil kepada salah seorang penari yang menyertai Festival Tarian Kebudayaan (FTB) 2023 yang diadakan di Kelab Diraja Sungei Ujong, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Generasi muda pada hari ini perlu didedahkan dengan seni tarian tradisional yang ada di negara ini supaya ia kekal terpelihara.

Menurut penari dan pelakon, S. Kavita, tarian tradisional dan klasik yang ada tidak kira tarian Melayu, India, Cina mahupun Iban, ia perlu sentiasa dipromosikan kerana ia merupakan Khazanah yang cukup berharga.

Katanya, menyedari perkara itu, beliau sendiri mengambil inisiatif untuk menganjurkan Festival Tarian Kebudayaan (FTB) 2023 yang menampilkan persembahan tarian-tarian tradisional masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

“Saya mahu mempromosikan semula khazanah ini, sekarang semakin kurang sekolah yang mengadakan kelas tarian, hanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan sahaja.

“Tarian tradisional ini perlu dipertahankan, generasi muda perlu kembali ke bidang keseniaan ini yang telah diwariskan oleh nenek moyang kita selama ini.

“Saya harap juga, pelajar-pelajar sekolah yang mungkin sedikit ketinggalan dalam bidang akademik untuk melihat seni tari sebagai salah satu bidang yang boleh mereka ceburi,” katanya kepada Utusan Malaysia pada program itu yang diadakan di Kelab Diraja Sungei Ujong di sini hari ini.

Festival tersebut telah dirasmikan oleh Presiden Kelab Rotary Senawang, T. Kumarasamy dan turut dihadiri oleh Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Dr. K. Balachandran.

Kavita yang merupakan pemilik syarikat Dejavu Resources dalam pada itu memberitahu, FTB 2023 yang julung kali diadakan itu turut mendapat kerjasama pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

“Lebih 40 orang penari mengambil bahagian dalam program ini, semuanya tampil dengan tarian tradisional tiada tarian moden. Bagi penganjuran buat kali pertama ini ia hanya berlangsung dalam skala kecil sahaja.

“Bagaimanapun, permulaan ini pasti memberi semangat kami untuk meneruskan lagi program yang sama di negeri-negeri lain dan dalam acara lebih besar termasuk di kawasan luar bandar.

“Program-program keseniaan dan kebudayaan sebegini sebenarnya mempunyai potensi besar sebagai daya tarikan pelancong kerana pelancong khususnya dari luar negara memang mencari keunikan ini apatah lagi di negara kita yang unik dengan kepelbagaian bangsa dan etnik,” jelasnya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya