Festival Selawat 2.0 tumpuan umat Islam dari seluruh negara - Utusan Malaysia

Festival Selawat 2.0 tumpuan umat Islam dari seluruh negara

Festival Selawat
SEBAHAGIAN daripada 13,000 peserta membanjiri dewan menghadiri Festival Selawat 2.0 yang dianjurkan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bandar raya ini menjadi tumpuan umat Islam apabila lebih 13,000 dari seluruh negara sertai Festival Selawat 2.0 anjuran Pertubuhan Amal Kebajikan Ar Rashid di sini, malam tadi.

Ahli jawatankuasanya, Muhammad Syazwan Abdullah Kahar berkata, festival kerohanian itu dianjur sepanjang hari semalam bermula dengan sesi perkongsian khusus untuk golongan wanita daripada penceramah Ustazah Alwiyyah Assegaf.

Menurutnya, acara tersebut bermula pada sebelah pagi yang bertajuk ‘Sayyidah Khadijah: Bukti Pengabdian Cinta’.

“Sesi pagi bermula dari pukul 7 pagi hingga 1 petang dan Alhamdulillah, ia berlangsung dengan lancar. Ia dihadiri kira-kira 5,000 peserta wanita yang datang dari seluruh pelusuk negara,” katanya ketika ditemui pada festival itu, malam tadi.

Jelasnya, acara utama festival berkenaan bermula pada pukul 3.00 petang dengan sesi tausiyah bersama Al Habib Abdullah Abdul Qader Al Habsyi, Al Habib Mahdi Al Hamid, Syeikh Abu Zaki Yusof As Sanggafuri Al Hadhrami, Syeikh Mukhtar Jamel dan Ustaz Hazri Hashim Al Bindany.

Sesi tersebut bermula dengan perarakan masuk ke pentas utama oleh penceramah, tetamu jemputan dan peserta bagi memulakan sesi ‘Maulid Diyaul Lami’ ‘.

Dalam pada itu, Muhammad Syazwan memaklumkan, festival sama dengan kehadiran lebih ramai dapat dianjurkan pada tahun hadapan bersempena dengan Maulidur Rasul sebagai manifestasi rasa cinta umat Islam terhadap Rasulullah SAW.

“Kita sasarkan lebih ramai yang akan hadir pada festival tahun hadapan bagi menarik lebih ramai umat Islam bersama-sama menzahirkan kecintaan mereka kepada Nabi Muhammad,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang peserta, Abdullah Firdaus Abdullah Zahid, 39, yang berasal dari Ipoh Perak memberitahu program sedemikian amat sesuai untuk seisi keluarga sebagai pengisian kerohanian dengan berselawat dan berqasidah.

“Rasa cinta kepada Rasulullah SAW tidak boleh dibayar dengan ruang masa dan wang, justeru saya bawa keluarga datang ke sini. Insya-Allah sekiranya berkelapangan pada tahun hadapan, saya akan hadir ke festival ini lagi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya