KLANG: Penganjuran Festival Selawat oleh Pertubuhan Amal Kebajikan Ar Rasyid memasuki siri kedua dengan menjangkakan kehadiran sehingga 13,000 peserta dari seluruh negara pada Sabtu ini di Shah Alam.
Festival kerohanian itu diadakan bersempena sambutan Maulidur Rasul bagi memperingati perjuangan, pengorbanan serta mengenali perwatakan Nabi Muhammad SAW.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Khairulnizam Abd. Ghani berkata, ia dianjurkan selama sehari di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) dengan pelbagai pengisian termasuk perkongsian khusus untuk wanita.
“Selain memupuk rasa cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, matlamat festival adalah untuk menimba ilmu dan mengeratkan ukhuwah sesama ummah serta memupuk pembangunan jiwa dan iman melalui majlis bersama ulama.
“Program akan diisi dengan pelbagai pengisian seperti tausiyah (sesi perkongsian) bersama penceramah seperti Ustazah Alwiyyah Assegaf yang bermula pada sebelah pagi khusus untuk peserta wanita yang bertajuk ‘Sayyidah Khadijah: Bukti Pengabdian Cinta’.
“Sesi tersebut akan dihadiri figura terkenal seperti Heliza Helmi, Erma Fatima, Umie Aida, Anita Baharom serta pempengaruh kerohanian popular dalam media sosial,” katanya.
Katanya, pada sebelah petang, ada sesi tausiyah bersama Al Habib Abdullah Abdul Qader Al Habsyi, Al Habib Mahdi Al Hamid, Syeikh Abu Zaki Yusof As Sanggafuri Al Hadhrami, Syeikh Mukhtar Jamel dan Ustaz Hazri Hashim Al Bindany.
Sesi tersebut akan berlangsung pada pukul 3 petang yang bermula dengan perarakan masuk ke pentas utama oleh penceramah, tetamu jemputan dan peserta bagi memulakan sesi ‘Maulid Diyaul Lami’.
“Kemudian akan ada empat sesi tausiyah diselang-seli tiga sesi qasidah serta solat Maghrib dan Isyak berjemaah. Sesi tausiyah akan disampaikan oleh penceramah jemputan.
“Orang ramai yang datang digalakkan membawa kelengkapan solat dan ibadah sendiri termasuk botol penyembur untuk wuduk dan sebagainya. Dalam program tersebut juga akan ada 60 gerai jualan dibuka menjual pelbagai barangan ibadah dan makanan,” katanya.
Katanya, Festival Selawat 2.0 kali ini dibuat dengan skala besar kerana pada edisi pertama tahun lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) kehadirannya melebihi 3,000 peserta termasuk rombongan dari Kedah dan Johor. – UTUSAN