PONTIAN: Festival D’ Kukup yang julung kalinya dianjurkan Pejabat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup bermula hari ini di Taman Rekreasi Pantai Rambah merupakan sebahagian daripada usaha mengukuh dan mengeratkan lagi hubungan rakyat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan, bertemakan ‘Membentuk Gaya Hidup Baharu Komuniti Berkualiti’, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik sepanjang festival tiga hari tersebut berlangsung.
Selain itu katanya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan penerangan daripada jabatan dan agensi kerajaan yang membuka kaunter perkhidmatan mereka pada hari berkenaan.
Antaranya Pejabat Kesihatan Daerah Pontian, Pejabat Tanah Daerah Pontian, Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso), Pertubuhan Peladang serta institusi kewangan.
“Kami berharap Festival D’ Kukup dapat memberikan maklumat yang tepat kepada pengunjung daripada jabatan dan agensi kerajaan mengenai sesuatu masalah atau isu yang mereka hadapi.
“Pada masa sama, memberi peluang kepada pihak-pihak berkenaan mendekati pelanggan masing-masing tanpa perlu bertemu di pejabat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jefridin berkata, festival tersebut turut dipenuhi pelbagai aktiviti seperti senaman aerobik anjuran Kelab Sukan Kecergasan Pulai Sebatang (KSKPS) yang melibatkan penyertaan daripada pelbagai pihak termasuk pelajar serta masyarakat setempat.
“Turut diadakan majlis tahlil, doa selamat dan persembahan qasidah bagi memohon doa supaya festival ini berjalan dengan lancar dan sempurna hingga akhirnya. Selain itu diadakan pertandingan memasak dan anyaman ketupat bagi golongan wanita menunjukkan bakat masing-masing.
“Bagi kaki pancing, mereka boleh menyertai pertandingan memancing yang menawarkan hadiah keseluruhan RM157,000 dengan juara akan membawa pulang wang tunai RM20,000. Hadiah cabutan nombor bertuah ‘gold bar’ bernilai RM30,000 turut menanti pemancing yang menyertai pertandingan itu di Pantai Rambah pada Sabtu ini,” katanya.
Bagi memeriahkan lagi festival, penganjur turut mengadakan acara sukaneka peringkat mukim serta pameran kenderaan pacuan empat roda.
Jefridin berkata, Festival D’ Kukup diserikan dengan persembahan kebudayaan seperti zapin, kompang dan silat, tarian singa dan tarian kaum India serta pertandingan Bintang D’ Kukup dan pertandingan Mobile Legends bagi golongan muda.
Katanya, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai barangan yang dijual di 50 gerai termasuk produk makanan dan minuman serta industri kecil dan sederhana (IKS).
“Insya-Allah kita yakin pengunjung yang datang ke Festival D’ Kukup akan berpuas hati dan gembira menyaksikan serta menyertai pelbagai acara yang dianjurkan,” katanya.
Acara kemuncak festival tersebut ialah pelancaran Brother Motor D’ Kukup yang akan disertai oleh penunggang daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijangka diketuai Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat. – UTUSAN