PETALING JAYA: “Alamak, biarlah rahsia.”
Demikian jawapan selamat legenda rock, Datuk Awie kepada Utusan Malaysia ketika ditanya adakah dia juga sedang menuntut hutang daripada mana-mana pihak ketika ini.
Selari dengan video tular lagu Tragedi Oktober dan Nurnilam Sari yang ditukar lirik bertemakan hutang, Awie bagaimanapun tidak mahu membuka pekung atau aib mana-mana pihak.
Bercakap tentang lirik dua lagu yang ditukar, Awie berkata, dia tidak kisah dengan tindakan segelintir netizen.
Malah Awie juga menganggap itu ruang promosi yang bagus untuk lagu-lagu lama yang diberi ‘suntikan’ lebih segar.
“Tak ada masalah pun. Baguslah, boleh promosi lagu-lagu penyanyi lama kan. Adakala saya sendiri pun turut nyanyi sama bila ada lagu tular.
“Tetapi kalau nak tanya pasal lirik yang ditukar, itu kena tanya penulisnya lah. Saya faham, mungkin ada kala boleh jadi sensitif tetapi tak apalah.
“Saya pun tengok TikTok, terhibur dengan video-video mereka. Sebab itu saya pun buat sekali. Ikut trend katakan,”ujarnya.
Sebelum ini, lirik lagu Nurnilam Sari yang ditukar kepada Pinjam 100 tular di media sosial sehingga mendapat perhatian Awie sendiri.