Faktor hujan burukkan kekeruhan air di Kulim

Faktor hujan burukkan kekeruhan air di Kulim

SADA menyediakan tangki statik di kawasan terjejas bekalan air di Kulim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) menjelaskan faktor hujan memburukkan kadar kekeruhan air mentah di Sungai Ular sehingga menjejaskan bekalan air bersih di Daerah Kulim, ketika ini.

Pengarah Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Syed Amaluddin Hafeez Syed Musa berkata, kekeruhan air yang ekstrem itu sekali gus mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Ular di Kulim terpaksa menghentikan operasi.

Katanya, jika rawatan air di sungai tersebut diteruskan hanya mengundang risiko kerana memerlukan penggunaan banyak bahan kimia bagi mengurai kekeruhan air.

“Perkara seperti ini adalah kejadian alam, hujan lebat di hulu menyebabkan air membawa lumpur di sekitar tebing sungai maka terjadi kekeruhan air sungai yang ekstrem. 

“Sehingga kini LRA dioperasikan Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd (SADA) tak boleh proses air mentah kerana mereka perlu guna bahan kimia yang banyak dan boleh membahayakan pengguna,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

SADA dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan, lebih 20,000 akaun pengguna di Kulim mengalami gangguan bekalan air disebabkan LRA Sungai Ular terpaksa dihenti tugas serta-merta berikutan kadar kekeruhan air mentah di sungai yang tinggi. 

Kata Syed Amaluddin Hafeez, SADA mengambil tindakan segera menyediakan lori tangki serta tangki statik di kawasan yang terjejas bagi meringankan beban mereka.

Tambah beliau, pihaknya akan memantau situasi itu termasuk keadaan air laut yang dijangka surut bagi membolehkan kaedah mengalirkan air keruh ke laut dilakukan.

“Terdapat kaedah untuk mengalirkan air keruh namun ia memerlukan pelepasan air dari Empangan Beris dan Empangan Muda. Bagaimanapun kaedah itu akan menyebabkan simpanan air mentah terpaksa digunakan dan bimbang akan berlaku pembaziran.

“Berapa lama keadaan ini berlarutan akan bergantung kepada air laut pasang dan surut. Sekiranya air surut lama, air keruh itu boleh dilepaskan terus. Kita tidak mempunyai masalah bekalan sumber air mentah cuma sekarang kualiti air saja yang bermasalah berikutan kekeruhan air,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya