PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas jurufoto Kumpulan Utusan, Allahyarhamah Nor Azlina Jaafar, 45, yang meninggal dunia semalam akibat jangkitan kuman pada hati.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, kali terakhir beliau bertemu Nor Azlina pada pada 14 April lalu ketika memberi sumbangan Tabung Hawana kepada suaminya, Muhammad Basir Abu Bakar yang juga bekas wartawan Kumpulan Utusan.
“Semoga keluarga Allahyarhamah tabah dengan ujian ini,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Nor Azlina, 45, meninggal dunia di Hospital Serdang semalam akibat jangkitan kuman pada hati.
Berita itu dimaklumkan Muhammad Basir menerusi hantaran Facebook beliau.
Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di tanah perkuburan di Batu 10, Cheras pagi tadi.
Pasangan terbabit dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu dua orang anak perempuan dan seorang lelaki yang kini masih bersekolah rendah.
Pasangan tersebut juga adalah antara lebih 800 bekas pekerja Kumpulan Utusan yang diberhentikan selepas syarikat itu diisytihar bankrap pada 2019.
Bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga, pasangan tersebut terpaksa berniaga termasuk menjadi ejen pewangi kereta, membuka gerai burger di rumah dan kini menjadi ejen kereta sewa.-UTUSAN