Empangan Mengkuang yang Diperbesarkan terkawal, dalam keadaan baik - Utusan Malaysia

Empangan Mengkuang yang Diperbesarkan terkawal, dalam keadaan baik

PBAPP menjelaskan Empangan Mengkuang yang Diperbesarkan (EMD) ketika ini terkawal dan dalam keadaan baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Empangan Mengkuang yang Diperbesarkan (EMD) dengan kapasiti simpanan maksimumnya dipertingkatkan daripada 22 bilion liter kepada 86.4 bilion liter ketika ini terkawal dan dalam keadaan baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K. Pathmanathan berkata, empangan itu kini berfungsi sebagai rizab kemarau strategik untuk Pulau Pinang serta sumber air mentah kecemasan yang berguna yang mengurangkan impak kejadian yang terkait dengan Sungai Muda.

Jelasnya, EMD telah diserahkan semula kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Oktober 2020 selepas kapasiti simpanan maksimumnya dipertingkatkan daripada 22 bilion liter kepada 86.4 bilion liter.

K. PATHMANATHAN

”EMD telah membuktikan ia bernilai kepada Pulau Pinang pada tahun lalu daj kini apabila rizab air mentahnya dilepaskan ketika respons kecemasan PBAPP terhadap tiga gangguan bekalan air tidak berjadual besar yang berlaku berikutan tiga kejadian di Kedah,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Anthony Santiago berkenaan tujuh empangan berisiko tinggi mendatangkan masalah sumber air kepada Loji Rawatan Air (LRA) dan kawasan sekitar jika berlaku kegagalan fungsi berikutan faktor cuaca berdasarkan Laporan Pemantauan Paras Empangan Bekalan Air 2022.

Charles berkata, kesemua empangan itu melibatkan dua empangan di Kedah iaitu Pedu dan Muda; tiga di Melaka melibatkan Durian Tunggal, Asahan dan Jus; manakala masing-masing satu di Pulau Pinang dan Johor iaitu di Mengkuang serta Linggiu.

Mengulas lanjut, Pathmanathan berkata, tanpa EMD, kesan insiden melibatkan kejadian di Kedah akan menjadi lebih gawat bagi majoriti pengguna air Pulau Pinang.

”Lebih-lebih lagi jangka masa untuk memulihkan perkhidmatan bekalan air selepas kejadian ini akan mengambil masa lebih lama.

”Oleh itu, keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menerima semula EMD pada September 2020, sebelum
projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) siap sepenuhnya, telah terbukti sebagai keputusan strategik yang betul dan kapasiti pelepasan akan ditingkatkan daripada 300 JLH kepada 600 JLH pada tahun depan,” katanya.

Tambahnya, Pulau Pinang sedang menantikan projek MDEP siap sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan yang bernilai RM1.2 bilion.

Ujar beliau, fasa-fasa MDEP yang masih belum selesai adalah Fasa 2B iaitu
pemasangan saluran paip untuk menaik taraf kapasiti pelepasan kepada 600 juta liter sehari (JLH).

“Fasa 2C melibatkan pembinaan rumah pam 440 JLH baharu di Sungai Muda untuk membolehkan pengisian semula EMD yang cekap ketika musim hujan serta baraj Sungai Muda yang baharu untuk menyokong pengabstrakan tambahan air mentah dari sungai ketika musim hujan untuk mengisi semula EMD,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya