Elaun, gaji pekerja kontrak mesti setara gaji minimum - TPM

Elaun, gaji pekerja kontrak mesti setara gaji minimum – TPM

AHMAD Zahid Hamidi (depan, tengah) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na'im Mokhtar (depan, kiri) bergambar bersama tetamu yang hadir selepas merasmikan Konvensyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan 2023 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Elaun dan gaji pekerja kontrak wajar dibayar sekurang-kurangnya mengikut gaji minimum RM1,500 seperti yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kakitangan kontrak juga bekerja keras dalam menjalankan tugas mereka tanpa sebarang kompromi.

Justeru, beliau menyifatkan pekerja kontrak juga layak meraih pendapatan sewajarnya sama seperti pekerja tetap.

“Seharusnya begitu (bayar kontrak gaji minimum). Elaun dan gaji pekerja atau kakitangan kontrak mesti menjurus sekurang-kurangnya setara dengan gaji minimum,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan 2023 hari ini.

Beliau memberi contoh bagaimana pendakwah dan mubaligh hanya meraih pendapatan yang kecil walaupun menjalankan tugas yang berat.

“Oleh kerana pendakwah dan mubaligh ini dikategorikan sebagai usaha dakwah secara sukarela dan mereka juga dikenali sebagai sukarelawan dalam penyebaran dakwah, namun jabatan-jabatan agama negeri dan Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil beberapa inisiatif untuk meletakkan mereka sebagai pendakwah perkhidmatan secara kontrak, maka elaun diberikan secara relatif masih rendah.

“Jadi, elaun untuk mereka wajar ditambah kerana kerja-kerja dakwah ini menyantuni banyak permasalahan terutamanya saudara-saudara baharu kawasan pedalaman, adalah munasabah biarpun jabatan agama negeri di bawah tuanku (sultan), tapi ia juga dibuat untuk sekolah dan kelas Kafa, insya-Allah ia boleh diselaras kita tunggu pengumuman Perdana Menteri dalam Bajet 2024,” katanya.

Awal tahun ini, Utusan Malaysia melaporkan, Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) menganggarkan 70 peratus daripada 300,000 pekerja kontrak di sekolah dan hospital di seluruh negara didakwa masih tidak menerima kadar gaji minimum RM1,500 yang dikuatkuasakan sejak 1 Mei tahun lalu.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) turut meminta kerajaan menyediakan peruntukan bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji dalam kalangan pekerja di bawah kontrak kerajaan dialami kira-kira 100,000 pekerja pembersihan dan kawalan keselamatan di sekolah.

Di bawah seksyen 2, Akta Majlis Perundingan Gaji Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] ialah gaji pokok sahaja, tidak termasuk apa-apa elaun atau bayaran lain.

Mulai 1 Mei 2022, gaji minimum RM1,500 dilaksanakan kepada majikan yang mengambil lima orang pekerja atau lebih, tanpa mengira bilangan pekerja yang diambil bekerja.

Ia disusuli dengan pelaksanaan 1 Januari 2023, apabila gaji minimum RM1,500 dilaksanakan kepada majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN