Eksesais Maritim Perkasa Timur tingkat aset di Laut China Selatan

Eksesais Maritim Perkasa Timur tingkat kesiapsiagaan aset di Laut China Selatan

HAJIJI Noor (dua kanan) mendengar taklimat semasa pelancaran Eksesais Maritim Perkasa Timur di Kota Kinabalu semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Eksesais Maritim Perkasa Timur dilihat akan membantu mempertingkatkan kesiagaan aset-aset di perairan Zon Maritim Malaysia dan memelihara kedaulatan negara khususnya di Laut China Selatan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dengan gabungan sumber, keupayaan sedia ada dan koordinasi yang jitu, pelaksanaan eksesais itu akan turut membantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) meningkatkan keupayaan dan kecekapan sumber manusia bagi pegawai serta anggota yang terlibat.

Beliau berkata, eksesais sebegitu akan menguji kecekapan pegawai dan anggota terlibat dalam merancang, melaksanakan eksesais serta operasi sebenar pada masa akan datang di samping memperagakan kehadiran aset maritim di Laut China Selatan khususnya di perairan negeri Sabah.

“Eksesais itu juga berteraskan konsep elemen cegah rintang iaitu salah satu teras strategik maritim melalui pencegahan pelanggaran undang-undang di laut dengan menunjukkan kehadiran aset-aset Maritim Malaysia di Zon Maritim Malaysia.

“Eksesais ini dilaksanakan merangkumi perairan Kota Kinabalu dan gugusan semarang peninjau di perairan negeri Sabah, Beting Patinggi Ali, Hampasan Dang Ajar dan Beting Raja Jarum hingga ke perairan Kuching di Sarawak,” katanya semasa merasmikan Eksesais Maritim Perkasa Timur 2/2023, di sini semalam.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri mahu operasi bersama antara pasukan dan agensi keselamatan negara terus dipertingkatkan bagi menangani pelbagai aktiviti jenayah sama ada di darat atau laut di Sabah.

Katanya, perairan negeri Sabah yang luas dan panjang serta bersempadan dengan negara jiran, memberi cabaran kepada pasukan dan agensi keselamatan negara.

Keadaan itu menyebabkan pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan, termasuk aktiviti penyeludupan dadah, rokok dan barangan bersubsidi, selain isu pencerobohan nelayan asing dikesan di perairan negeri ini.

“Saya berharap latihan bersepadu dalam operasi bersama antara pasukan dan agensi keselamatan negara terus dipertingkatkan pada masa akan datang, bagi menangani pelbagai aktiviti jenayah sama ada di darat atau laut di negeri ini.

“Bagi memacu ketersediaan aset dan kompetensi untuk melindungi dan mempertahankan kepentingan Zon Maritim Malaysia pada setiap masa, saya berharap melalui eksesais yang dilaksanakan, akan dapat meningkatkan lagi kecekapan Maritim Malaysia dalam membantu mengawal keselamatan di perairan negara khususnya di negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri amat menghargai usaha Maritim Malaysia dan bersedia memberi kerjasama dalam apa jua perkara dan menjadikan agenda utama dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara khususnya negeri Sabah terjamin.

Kerajaan negeri amat menghargai dan menyanjung tinggi pengorbanan serta kerja keras perwira-perwira Maritim Malaysia yang tidak mengenal erti penat lelah dalam menjalankan tugas.

Eksesais Maritim Perkasa Timur yang bermula pada 28 Oktober lalu hingga 4 November ini adalah eksesais gabungan elemen dalam mengukur kesiagaan dan keupayaan aset-aset Maritim Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya