SHAH ALAM: Hasrat murni seorang isteri mahu membuka sebuah spa bagi tidak kesampaian apabila diserang jantung pada 13 Ogos lalu, namun niat sucinya itu mahu membantu suami tetap tertunai menerusi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
Justeru, Norsham Hassan, 45, menzahirkan rasa terharu dan bersyukur apabila keluarganya layak menerima pencen penakat daripada skim tersebut selepas arwah mencarumnya melalui Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) dalam program eKasih.
Menurutnya, dia tidak menyedari isterinya, Allahyarhamah Rosmawati Mohd. Safri, 38, mencarum melalui skim tersebut sejak Disember tahun lalu yang akhirnya dapat membantu seisi keluarga walaupun arwah sudah tiada.
“Isteri saya menghidap sakit jantung lebih dua tahun yang membataskannya untuk membuat aktiviti harian termasuklah hasrat untuk membina perniagaan kerana mahu membantu saya menyara keluarga. Jadi, dia mendaftar dalam program eKasih untuk menjadi pengusaha spa tahun lalu.
“Bagaimanapun, disebabkan penyakitnya, arwah tak sempat jalankan perniagaan itu. Jadi, perniagaan spa itu akan diteruskan oleh anak sulung kami yang berusia 21 tahun,” katanya ketika ditemui pemberita dekat kediamannya, hari ini.
Terdahulu, dia sekeluarga menerima kedatangan Timbalan Pengarah Perkeso Selangor, Abdullah Kamal Ahmad yang berkunjung ke rumahnya di Seksyen 2, di sini bagi menyerahkan bantuan pencen penakat.
Selain bantuan itu, keluarga Allahyarhamah Rosmawati turut menerima bayaran faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 serta Kotak Prihatin Perkeso kepada waris.
Justeru, Norsham, 45, menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perkeso yang membantu dia sekeluarga memudahkan urusan seperti ditawarkan manfaatnya dalam SKSSR.
“Saya rasa begitu terharu kerana Perkeso sangat prihatin dengan keluarga sehinggakan pegawainya tiga kali bertandang ke rumah bagi mendapatkan butiran arwah isteri untuk memudahkan tuntutan manfaat SKSSR.
“Duit pencen penakat saya akan bagi terus kepada tiga anak, yang masing-masing berumur 13 hingga 21 tahun bagi kegunaan harian mereka,” luahnya yang bekerja sebagai penyelia projek lebuhraya.
Sementara itu, Abdullah Kamal ketika ditemui memberitahu, Perkeso Selangor menyasarkan 12,000 orang suri rumah negeri itu mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) pada tahun ini.
Menurutnya setakat ini seramai 10,122 suri rumah yang mengambil skim tersebut dan daripada jumlah itu 6,217 orang mencarum terus dengan Perkeso sementara 3,905 lagi dicarumkan oleh kerajaan. – UTUSAN