SUDAH lama terbuku di hati Cik Bunga mahu melayangkan pertanyaan ini. Apa lagi bila adakalanya ternampak Eira sering juga buat live di platform Tiktok.
Kalau tak seorang, dia akan buat live ditemani suami tercintanya, Pak Azad. Cik Bunga jujurnya suka melihat gelagat mereka berdua ini.
Pak Azad pula suka benar menyakat dan memang berkarakter gila-gila. Boleh bayangkan hubungan dan rumah tangga kedua-duanya ini memang penuh ceria dan harmoni.
Pak Azad kita tahulah memang aktif sebagai penyampai radio di saluran terkemuka tanah air, Era FM.
Cik Bunga cuma tertanya bagaimana pula dengan Eira? Rasa macam sudah lama juga tak nampak Eira aktif berlakon di kaca televisyen.
Tiada naskhah baharu. Kalau tidak, dia ligat berlakon juga suatu ketika dahulu. Pula itu, Cik Bunga perasan, dia pun turut menceburi bidang nyanyian.
Ada beberapa single yang telah dikeluarkan, tetapi kalau tak silap, yang terbaru berjudul Jebakan dilancarkan di Indonesia.
Tak tahulah kalau Cik Bunga silap pandang, tapi memang sasaran Eira hanya mahu lancarkan lagu di negara seberang? Kenapa tidak all out buat yang serupa di Malaysia? Hairan juga.
Cik Bunga harap Eira pun boleh kongsikan perkara ini dan leraikan pertanyaan. Peminat pun rasanya ingin tahu.
Yang penting, betulkah dah berhenti berlakon? Harapnya tidak. Eira berlakon pun bagus.