PUTRAJAYA: Yayasan Restu menyasarkan kutipan dana sehingga RM3 juta menerusi cetakan 30,000 naskhah edisi khas al-Quran Mushaf Palestin dengan terjemahan Bahasa Inggeris.
Edisi khas mushaf Palestin itu diterbitkan demi semangat dan solidariti terhadap rakyat Palestin yang kini ditindas dengan tidak berperikemanusiaan oleh rejim Israel.
Majlis pelancaran mushaf itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latif Mirasa.
Ahmad berkata, sumbangan dana wakaf bernilai RM100 senaskhah itu akan dialirkan seratus peratus untuk menyokong umat Palestine di Gaza dalam aspek perubatan dan makanan.
Menurutnya, sebaik diinfak sepenuhnya, kesemua 30,000 naskhah al-Quran edisi mushaf Palestin itu akan diterbangkan ke Palestin untuk diedarkan kepada penduduk negara itu.
“Al-Quran Mushaf Palestine ini memayungi identiti seni Palestin di setiap juzuknya yang mewakili setiap daerah di negara itu.
“Antara rakan strategik yang bekerjasama dalam penghasilan mushaf ini ialah Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM),” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan edisi khas mushaf itu di Kompleks Nasyrul Quran di sini, hari ini.
Katanya, dana yang diperoleh daripada infak al-Quran ini akan digunakan bagi menggerakkan usaha ke arah pembinaan Kompleks Masjid Saidina Ali yang merangkumi Pusat al-Quran dan al-Hadith di Gaza.
Pada masa sama, katanya, beliau berterima kasih dengan inisiatif diperkenalkan Yayasan Restu ini dan menyeru yayasan-yayasan lain untuk melakukan perkara sama.
Sementara itu, Abdul Latif berkata, pelancaran kempen infak al-Quran edisi Palestin ini sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin sekali gus dapat membantu membangunkan semula Palestin yang musnah dalam peperangan ketika ini.
Katanya, majlis pada hari ini juga akan menyerahkan sumbangan bernilai RM150,000 dalam bentuk pek makanan kepada rakyat Palestin selain dana sebanyak RM25,300 yang disumbangkan oleh kakitangan Yayasan Restu, Kompleks Nasyrul Quran dan Airport Limo. – UTUSAN