SHAH ALAM: Seorang lelaki tertunduk reda apabila dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup berserta 15 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini atas kesalahan mengedar ganja seberat 495.20 gram pada tiga tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Irsyad Adzha, 32, menunjukkan reaksi sedih selepas didapati bersalah walaupun Hakim Dr. Suzana Muhamad Said tidak mengenakan hukuman gantung sampai mati seperti diperuntukkan bagi kesalahannya di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suzana menjatuhkan hukuman itu di bawah Seksyen 39B(1)(a) akta tersebut selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan melampaui muhasabah di akhir kes pembelaan.
Bagaimanapun, sebelum itu peguam mewakili tertuduh, Datuk Naran Singh Asa Singh dalam mitigasinya memohon mahkamah mempertimbangkan kedudukan anak guamnya yang sudah berkeluarga supaya tidak mengenakan hukuman gantung.
“Ini adalah kesalahan pertama tertuduh, dia sudah berumah tangga dan mempunyai seorang anak. Justeru mohon hukuman gantung tidak dikenakan sebaliknya diberikan hukuman penjara.
“Walaupun budi bicara (mahkamah) diberikan namun harus melihat pada kes. Tertuduh pun masih muda, berilah peluang kepadanya. Sebelum ini ada kes di Mahkamah Tinggi Alor Setar dengan tertuduh terus mengaku bersalah tanpa melalui perbicaraan dan dijatuhi penjara 30 tahun dan sebatan. Lihat pada jenis dadah, lagipun ini adalah kesalahan pertama takkan nak gantung. Tidak logik,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed. Heikal Ismail, menjelaskan hukuman berat perlu dijatuhkan apabila kesalahan yang dibuat bukan melibatkan penyimpanan, sebaliknya pengedaran dadah.
“Pendakwaan mohon hukuman gantung sampai mati. Hukuman melambangkan ketegasan dalam membanteras kegiatan (pengedaran) dadah. Kesalahannya serius sehingga akta membenarkan mahkamah menjatuhkan hukuman mati.
“Bahkan dadah bukan habis di kes ini sahaja, tetapi melibatkan pengedaran dadah bukan pemilikan. Effect dadah bukan habis dalam kes ini sahaja tetapi pengedarannya melibatkan kesan kepada masyarakat. Tidak perlu tunjukkan mitigasi dengan alasan keluarga
“Kesalahan mengedar dadah adalah serius. Akta benarkan mahkamah jatuhkan individu dengan hukuman gantung. Saya juga hendak memaklumkan negara maju di Asia Tenggara seperti Singapura masih sabitkan hukuman gantung terhadap kesalahan sedemikian,” jelasnya.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Irsyad didapati mengedar dadah jenis cannabis dekat hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bangi pada 11 Februari 2020 kira-kira pukul 6 petang.
Pada prosiding yang berlangsung sejak 5 Mac lalu seramai sembilan orang saksi dipanggil. – UTUSAN