BUKIT MERTAJAM: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Pulau Pinang melancarkan penjenamaan semula e-READ Kemas ke arah memperkasa masyarakat luar bandar sejajar dengan era globalisasi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kemas, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Zairuddin Mat Zuini berkata, penjenamaan semula e-READ yang sebelum ini dikenali sebagai pusat sumber Kemas itu meliputi enam fungsi utama.
Jelasnya, ia termasuk kafe buku; pusat latihan jualan perniagaan; pusat aktiviti Sahabat Komuniti Desa (SKOD) Kemas; pusat latihan aktiviti komuniti; pusat bantuan perkhidmatan komuniti dan guna sama kelas Bina Insan.
Tambah beliau, ketika ini terdapat sebanyak enam projek rintis telah dilaksanakan sepanjang tahun lepas melibatkan e-READ Kemas Kompleks PS Taman Gunung Mas, Negeri Sembilan; e-READ Kemaa Pusat Komuniti Kuala Penyu, Sabah; e-READ Kemas PKM Limbang, Sarawak; e-READ Kemas Kampung Desa Murni, Kerdau, Pahang; e-READ Kemas PKM Serkam Melaka dan e-READ Kemas Kampung Hala Cara Baru, Selangor.
“Malah, pada tahun ini juga, sebanyak lapan buah negeri terpilih untuk pengubahsuaian bagi penjenamaan semula Pusat Sumber kepada e-READ termasuk Pulau Pinang.
“Usaha ini dilihat mampu memberi nafas baharu kepada Kemas agar kekal relevan dan menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat luar bandar mengikut peredaran zaman,” katanya.
Beliau ditemui pada program Pasar Ria Desa dan Pelancaran e-READ Kemas Negeri Pulau Pinang Tahun 2023 yang turut dihadiri Pengarah Kemas Pulau Pinang, Kamarul Bahari Mohd Salleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah Gooi Hsiao Leung di Kompleks Komuniti Desa (KKD) Kemas, Kampung Sekolah Juru, di sini baru-baru ini.
Zairuddin menambah, e-READ Kemas Pulau Pinang turut dijadikan pusat sehenti kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk seperti makanan dan kraftangan yang akan membantu meningkatkan ekonomi selain berpeluang mengkomersilkan produk mereka ke pasaran luar.
“Di KKD Kemas ini juga mempunyai kelas jahitan yang dilengkapi peralatan terkini di mana ia menawarkan pelbagai kursus dalam bidang jahitan mahupun kelas harian yang terbuka kepada masyarakat tempatan.
“Selain itu, kita turut mensasarkan seramai 10 usahawan bimbingan Kemas yang akan memasarkan produk mereka di e-READ untuk pasaran setempat,” katanya.
Tambah beliau, selaras dengan perkembangan dunia digital, e-READ Kemas turut menyediakan kemudahan komputer dengan dilengkapi akses internet secara percuma kepada masyarakat setempat terutama pelajar.
Katanya, ia bagi membolehkan golongan itu untuk mendapatkan info-info terkini seperti peluang menyambung pelajaran, pembiayaan pelajaran, maklumat peperiksaan dan sebagainya.
Dalam pada itu, Hsiao Leung berkata, konsep santai yang diwujudkan dalam e-READ membantu menarik minat selain menjadi tempat tumpuan masyarakat khususnya di Bukit Tengah untuk sama-sama berkumpul, berkongsi idea, dan saling mengenali bagi mengukuhkan persaudaraan, perpaduan serta keharmonian sesama masyarakat setempat.
“Dengan adanya pelbagai usaha mempromosikan kemudahan-kemudahan yang ada di Kompleks Komuniti Kemas khususnya e-READ ini, masyarakat akan berminat untuk berkunjung ke sini.
“Malah, wajah baharu e-READ Kemas bukan sahaja terhad kepada sumber ilmu pengetahuan, tetapi menjadi pemangkin kepada kemajuan usahawan luar bandar,” katanya. – UTUSAN