KUALA LUMPUR: Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali mengadakan kunjungan hormat di Parlimen hari ini.
Kehadirannya disambut oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di pejabatnya.
Dalam pertemuan itu, Wan Junaidi mengesahkan sokongan Malaysia kepada Palestin dalam perjuangan pembebasan mereka daripada pendudukan Israel.
Katanya, pendirian diplomatik Malaysia adalah bagi mengekalkan hak terus berhubung dan bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk sayap politik Hamas bagi mencari penyelesaian segera terhadap konflik semasa.
Beliau turut menyatakan pendirian Malaysia yang mengecam sekeras-kerasnya tindakan genocide dan kekejaman yang berlaku ke atas rakyat Palestin.
“Amat jelas bahawa matlamat utama kekejaman genocide ini adalah untuk menghalau seluruh rakyat Palestin keluar daripada Gaza, bermula menghalau dari Utara Gaza ke Selatan Gaza yang sudah penuh dan akhirnya rakyat Palestin akan dipaksa keluar daripada sempadan perbatasan ke kawasan Mesir.
“Oleh itu, saya menyeru pihak antarabangsa terutamanya kuasa Barat dan Eropah untuk menunjukkan perikemanusiaan dan mengambil tindakan segera dan drastik bagi menghentikan kekejaman genocide yang tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin.
Beliau juga menyeru pihak media untuk memberikan laporan yang lebih adil kepada keadaan semasa di Gaza. Naratif semasa di sesetengah media bahawa tindakan ketenteraan Israel adalah mensasarkan Hamas adalah tidak tepat kerana mangsa yang terkorban dan cedera adalah orang awam dan kanak-kanak yang bukan sebahagian daripada tentera Hamas.
Dalam pertemuan tersebut, katanya, Walid merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan di atas bantuan dan sokongan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya kepada Gaza dan rakyat Palestin.
“Beliau juga berharap sokongan, bantuan dan hubungan baik ini akan diteruskan pada masa hadapan. Saya turut mengesahkan pendirian Malaysia tidak akan berhenti berjuang untuk hak-hak Palestin berdasarkan prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa.
Katanya, Palestin mempunyai hak yang sah dan sah sejak 1947 untuk hidup dalam keamanan dan harmoni di tanah mereka untuk mendapatkan semula tanah yang dirampas dan diambil secara haram oleh rejim Israel sejak 1948.
“Termasuk hak untuk menubuhkan negara Palestin merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra 1967 dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara,” katanya.-UTUSAN