DUNGUN: Penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ, Muhammad Shah Run Nizam Jaafar, yang terkorban dalam nahas melibatkan enam buah motosikal di Kilometer 333.1 di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), pernah dua kali kemalangan sebelum ini.
Kakaknya, Azura Jaafar, 28, berkata, meskipun ibu mereka, Radhiah Mohd. Kasim, 43, melarang Muhammad Shah Run Nizam, 20, menggunakan motosikal tersebut, namun dia berkeras untuk kembali membaik pulih motosikal itu demi keselesaan ibu dan adiknya menggunakan sebuah lagi motosikal lain untuk kegunaan harian.
“Sebelum ini, adik pernah kemalangan dua kali iaitu pada tahun lepas menyebabkan motosikalnya rosak teruk dan ketika menyertai perhimpunan RXZ Members di Kuala Terengganu pada bulan lalu, namun dia hanya cedera ringan dalam dua kemalangan itu.
“Mak dah larang dia supaya jangan baiki motosikal tersebut, namun dia baiki dan guna juga untuk pergi bekerja di Paka. Sebelum ini dia guna Yamaha Ego untuk bekerja, tapi bila ibu dan adik-adik sukar nak bergerak ke mana-mana, dia tunggang juga RXZ tersebut,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam tadi, Muhammad Shah Run Nizam maut di lokasi kejadian bersama dua lagi penunggang motosikal lain selepas mereka gagal mengelak penunggang motosikal yang jatuh di lebuhraya itu selepas dilanggar motosikal lain.
Azura berkata,difahamkan, ketika kejadian, anak kelima daripada sembilan adik beradik itu baru selesai bermain boling bersama rakan-rakannya di Kijal, Kemaman.
“Adik menyewa di Paka, sebelum ini dia tidak pernah keluar malam, namun kali ini agak pelik bila dia keluar malam, mungkin itu sudah panggilan ajalnya,” katanya.
Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam itu turut mengorbankan dua penunggang motosikal lain iaitu pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Binjai, Ahmad Osama Ramadhan Laidin, 17 dan seorang lagi penunggang motosikal iaitu Muhammad Fitri Hanif Rohami, 18, yang berasal dari Kampung Bukit Kuang.
Difahamkan, ketiga-tiga mangsa tercampak beberapa meter di Lebuh raya itu selepas gagal mengelak seorang penunggang motosikal iaitu Muhamad Firzani Hilman Mohd Arif Fadhillah, 20, yang dilanggar sebuah motosikal lain.
Kejadian tersebut turut menyebabkan Muhammad Firzani Hilman yang berasal dari Cheneh dan dua lagi penunggang motosikal lain iaitu Mohamad Afiq Kamal, 19, dan Muhammad Haziq Haikal Ismail, 17, mengalami kecederaan. – UTUSAN