Dua beradik didenda RM3,000 mengaku beri pinjaman wang tidak berlesen - Utusan Malaysia

Dua beradik didenda RM3,000 mengaku beri pinjaman wang tidak berlesen

S. Krishna Veni (dua dari kiri) dan abangnya, S. Pojana Rajan (tiga dari kiri) diiringi polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tampin hari ini bagi didakwa atas pertuduhan membantu memberi pinjam wang tanpa lesen di sekitar daerah Tampin bulan lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Dua beradik didenda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Tampin hari ini, atas pertuduhan membantu memberi pinjam wang tanpa lesen di sekitar daerah ini, bulan lalu.

S. Krishna Veni, 31, dan abangnya, S. Pojana Rajan, 43, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Majistret turut menetapkan hukuman 10 bulan penjara sekiranya mereka gagal menjelaskan bayaran denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan Krishna Veni, pada 30 September lalu kira-kira pukul 1.15 tengah hari di sebuah premis perniagaan di Jalan Kelab Tampin, dia didapati membantu pemberi pinjam wang.

Bagi pertuduhan terhadao Pojana Rajan pula, pada hari yang sama, kira-kira pukul 3 petang bertempat di sebuah kediaman di taman perumahan dia juga didapati membantu pemberi pinjam wang.

Oleh itu, kedua-dua mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang mana boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes siasatan ke atas Krishna Veni, hasil pemeriksaan telah menjumpai wang tunai RM200 yang diterima dari saksi sebagai bayaran ansuran bagi pinjaman daripada tertuduh.

Siasatan lanjut, tertuduh telah membantu menjalankan perniagaan tanpa lesen kepada pengadu serta beberapa peminjam lain di sekitar daerah ini berdasarkan semakan WhatsApp di dalam telefon bimbit tertuduh.

Bagi fakta kes Pojana Rajan, hasil pemeriksaan di atas meja ruang tamu rumah telah menjumpai buku akaun, buku nota mengandungi senarai nama peminjam, borang mengandungi lejar akaun peminjam, salinan kad pengenalan peminjam, salinan slip gaji peminjam, telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM872.

 Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Syuhada Mohd. Isa.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh dalam rayuan mereka menyatakan mempunyai tanggungan dan memohon hukuman minimum bagi kesalahan itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN