SHAH ALAM: Penyanyi, Azharina menafikan dia terasa hati dengan komen juri All Star Gegar Vaganza (ASGV) terhadap persembahannya membawakan lagu Sayang Di Sayang pada konsert minggu ketiga yang berlangsung semalam.
Kata penyanyi yang mesra disapa Nina itu, dia faham dan menghargai setiap komen yang diberikan ketiga-tiga juri dan berterima kasih atas pandangan yang dilayangkan terhadap persembahannya itu.
“Saya tidak terasa hati dengan komen juri kerana mereka ditugaskan dan dibayar untuk mencari kesilapan dan menegur kekurangan saya.
“Saya bersyukur dan berterima kasih. Malah saya ada meminta maaf kepada Tok Ram dan guru-guru (nyanyian) saya yang membantu saya dalam membuat persiapan untuk menyampaikan lagu tersebut.
“Itu tanggungjawab saya sebagai seorang anak seni untuk mempelajari, menerima kekurangan dan memberi yang terbaik,” katanya pada sidang media.
Tindakan Azharina yang mencelah dan menjawab ketika juri memberi komen terhadap persembahannya semalam memberi bayangan seolah-olah penyanyi tersebut tidak dapat menerima kritikan yang dilayangkan Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat malam semalam.
Penyanyi Elegi Sepi itu menafikan sekeras-kerasnya tanggapan teersebut, namun mengakui ada menyimpan rasa bersalah kerana merasakan dirinya gagal dan menghampakan guru-guru yang banyak membantunya membuat persiapan menjelang konsert ASGV semalam.
“Saya tak boleh tipu, memang ada perasaan bersalah. Saya hubungi cikgu-cikgu dan saya menangis, hiba sebab saya rasa saya tak mampu membahagiakan mereka.
“Saya meminta maaf kerana kekhilafan saya tidak dapat memberikan yang terbaik. Itu yang saya sedihkan.
“Saya tidak pernah ambil pusing soal komen. Itu come and go. Kita kena bersedia untuk menerima,” jelasnya.
Azharina pada konsert ASGV malam semalam berpuas hati di kedudukan 11 dengan memperoleh markah juri sebanyak 58 peratus.
Peserta di kedudukan tercorot, Ayai Ilusi pula terselamat dari (ASGV) apabila tiada penyingkiran dibuat semalam.
Jaclyn Victor pula merampas kedudukan pertama dengan pungutan markah sebanyak 76 peratus.
Kedudukan kedua dimiliki Liza Hanim dengan pungutan markah sebanyak 74.75 peratus sementara ditempat ketiga mejadi milik Naqiu (74.50 peratus).
Dalam pada itu, Konsert ASGV minggu hadapan bakal menyaksikan kesemua peserta yang mara berduet bersama artis pilihan masing-masing.
Antara barisan penyanyi yang akan menggamatkan pentas minggu keempat Ahad depan adalah Datuk M. Nasir, Ziana Zain, Liza Aziz, Misha Omar, Mamat Exist, Stacy, Marsha Milan, Vince Chong, Amir Masdi dan ramai lagi.