Dewan Rakyat: Pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak mula

Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak akan dilebarkan, kerja-kerja bermula suku kedua 2024

ABDUL RAHMAN MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pelebaran bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak akan bermula pada suku kedua 2024.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ia merupakan sebahagian daripada tindakan jangka panjang selain perancangan sistem kutipan tol aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) bagi melancarkan pergerakan trafik di plaza tol.

“Kerajaan meluluskan cadangan pelebaran lorong Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak bermula dari Plaza Tol Gombak ke persimpangan Central Spine Road iaitu Bentong akan dilaksanakan oleh Anih Bhd.

“Selaku pemegang konsesi lebuh raya ini, cadangan pelebaran dijangka dapat menyediakan lebuhraya dengan selesa, cepat, mudah dan cekap serta menangani isu kesesakan sering berlaku terutama pada musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, ketika ini, projek pelebaran ini dalam peringkat awalan dan reka bentuk sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada tahun hadapan.

Dalam soal laluan pintar (smart lane), beliau menjelaskan, walaupun lorong kecemasan diaktifkan, namun, ia tidak dapat dilaksanakan secara sepenuhnya buat masa ini.

“Ini kerana, mengikut spesifikasi, ia memerlukan 2.5 meter kelebaran jalan sedangkan kita ada 2.25 meter sahaja, tapi, sekiranya berlaku (kesesakan lalu lintas), kita terpaksa membuat pembukaan sementara dalam musim perayaan,” katanya.

Namun, katanya, perkara itu juga termasuk dalam usaha pelebaran jalan sehingga 3.0 meter supaya laluan pintar boleh digunakan secara maksimum.

“Kita sentiasa membuat kajian dari semasa ke semasa, kita tahu kalau hari biasa pun menjelang Ahad petang, ia menyebabkan laluan dari Lipis ke Kuala Lumpur biasanya dua jam setengah tapi sebenarnya memakan masa empat jam disebabkan trafik hujung minggu, begitu juga sebelah utara.

“Sebab itu, tahun 2024, pelebaran akan bermula dan dijangka dapat mengatasi masalah tersebut melibatkan tol, jadi sekiranya berlaku perkara tertentu, kita terpaksa buka satu lagi laluan sampai ke Plaza Tol Gombak sehingga berlaku kesesakan dari Kuala Lumpur sehingga ke Bentong, jadi, pelebaran dan MLFF diharap dapat mengatasi masalah dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai rancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang kerajaan agar kesesakan lebuhraya seperti di Tol Bentong dan Tol Gombak dapat dikurangkan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN