Dewan Rakyat kecoh isu usul Ahli Parlimen Sg Petani, 'anak bapa'

Dewan Rakyat kecoh isu usul Ahli Parlimen Sungai Petani, ‘anak bapa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini kecoh ketika seorang ahli Parlimen pembangkang menyebut ‘anak bapa’, selepas Dewan menerima usul tergempar Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari berhubung isu sorokan beras di Kedah.

Adegan itu bermula selepas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng memaklumkan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah menerima satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) pada 11 Oktober 2023.

Sehubungan itu, Johari telah mengarahkan Timbalannya, Datuk Ramli Mohd. Nor untuk mempertimbang usul tersebut dan setelah meneliti, usul itu memenuhi kriteria perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Oleh itu, katanya, usul berkenaan dibenarkan untuk dirunding dalam sesi kamar khas Dewan Rakyat petang ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak berpuas hati kerana mendakwa haknya telah dinafikan disebabkan beliau telah mengemukakan usul tergemparnya sehari lebih awal (Selasa) berbanding Mohammed Taufiq.

Beliau merasakan seolah-olah terdapat situasi pilih kasih kerana Dewan membenarkan usul-usul tergempar yang dihantar dalam masa yang terlalu singkat namun berpeluang dibahas.

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim kemudian menyampuk dan menyebut perkataan ‘anak bapa’ beberapa kali.

Shahidan: Saya hantar Selasa, yang ini (Mohammed Taufiq) hantar Rabu. Kenapa saya dinafikan hak?

Awang Solahuddin: Anak bapa, anak bapa.

Rentetan itu, beberapa ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang saling mempertahan pandangan antara satu sama lain berhubung isu itu sehingga mengambil masa beberapa minit sebelum perbentangan Rang Undang-Undang (RUU) seterusnya.

Awang Solahuddin berkata, disebabkan Dewan telah membenarkan usul tersebut dibahas, ia dikhuatiri menimbulkan kepentingan konflik memandangkan Mohammed Taufiq dan Johari mempunyai pertalian keluarga.

Bagaimanapun, Kiong Yieng berkata, tidak timbul keadaan seperti itu kerana keputusan telah dilakukan melalui arahan kepada orang lain (Ramli) untuk meneliti kewajaran usul.

RSN Rayer: Tarik balik tuduhan itu. Siapa buat tuduhan anak bapa itu?

Mohammed Taufiq: Saya minta Pendang tarik balik. Kita profesional.

Awang Solahuddin: Saya tanya anak siapa kalau bukan anak bapa?

Mohammed Taufiq: Apa maksud Pendang ketika berada dalam Dewan ini?

Awang Solahuddin: Konflik kepentingan akan berlaku.

RSN Rayer: Pendang buat kenyataan itu seolah-olah Speaker berat sebelah.

Awang Solahuddin kemudian diarahkan keluar Dewan.

Semalam, Mohammed Taufiq dilaporkan mengemukakan satu usul meminta supaya isu sebuah kilang beras di Kedah yang disita dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat.

Ini kerana, kilang tersebut disyaki menyorok beras putih tempatan seberat 180 tan metrik. Beliau mengemukakan usul tersebut kepada Johari mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (1).

Kelmarin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, tindakan menyita makanan ruji negara itu dilakukan selepas kilang terbabit didapati menyorok bekalan beras dalam gudang simpanan yang tidak dinyatakan dalam lesen.

Katanya, beras bergred Super Spesial Tempatan lima peratus (SST5) atau BPT itu ditemukan di dalam kampit jumbo, dianggarkan bernilai RM405,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya