KUALA LUMPUR: Walaupun Belanjawan 2024 menunjukkan refleksi kadar inflasi semakin pulih, namun kesan sebenar di peringkat rakyat belum dapat dirasai dan keresahan tersebut masih berterusan.
Perkara itu diluahkan oleh Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kerana masih wujud kesukaran mendapatkan bekalan dan keperluan asas.
“Ini perkara paling utama kepada kehidupan rakyat, ada sampai terputus tiga hari bekalan beras, ada pemborong menyorok beras, hendak beli beras tempatan sentiasa habis stok, terpaksa beli beras import harga yang jauh lebih mahal dan meningkat.
“Harga ayam dan telur ada mencecah harga siling, RM9.40, RM10.50 atau hingga RM11.00. Ini kenaikan sebelum pengumuman mengapungkan harga, kalau apungkan, entah berapa pula harganya,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, ia merupakan permasalahan mikro, bukan sahaja melibatkan persepsi harga barang tapi juga soal kadar gaji.
“Saya menyambut baik usaha penstrukturan semula gaji dan pembiayaan insentif tunai kepada penjawat awam, namun ia juga harus terlaksana bagi pekerja swasta, peniaga kecil dan sederhana, barulah kesan menyeluruh dapat diperlihatkan,” katanya.
Beliau turut bimbang dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menurun dari 5.6 peratus pada suku pertama 2023 kepada 2.9 peratus pada suku kedua tahun ini.
“Kerajaan tidak boleh ambil mudah, apatah lagi kedudukan mata wang berada di tahap mencemaskan, nilai ringgit jatuh ke paras terendah sejak 25 tahun lalu. Prestasi Bursa Malaysia juga masih belum pulih ke tahap pra-2018.
“Kombinasi pertumbuhan KDNK menurun, nilai ringgit merudum dan prestasi bursa lemah, ini semua perlu dilihat dengan serius dan menyeluruh, jika tidak, ia akan terus menambah tekan kepada prestasi ekonomi dan rakyat,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan juga perlu mengakui dan segera memberi pencerahan berkenaan tindakan menaikkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada lapan peratus.
“Biarpun yang diumumkan tidak melibatkan makanan dan telekomunikasi, namun rakyat masih tertanya bagaimana kenaikan ini akan beri kesan kepada mereka,” katanya.
Namun, beliau menyifatkan masalah-masalah yang dihadapi negara tidak mungkin diselesaikan secara sendirian oleh Perdana Menteri, kerana ia juga merupakan tanggungjawab barisan jemaah menteri.
“Berbilion pelaburan diumumkan dan perjanjian ditandatangani, pelbagai negara terlibat, pelbagai sektor dikenal pasti, namun apa tindakan susulan dilakukan, tindakan menteri tidak mencukupi jika bersandarkan sidang media atau media sosial, tindakan mesti dilihatkan dan rakyat mesti merasai hasil tindakan tersebut,” katanya.
Beliau juga menyatakan kesukaran mengenal pasti perkara-perkara utama dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan.
“Saya bukan mahu menuding jari sesiapa, tapi hanya memberi pandangan supaya kerajaan dilihat sebagai pihak yang mampu beri harapan dan sandaran kepada rakyat.
“Letakkan diri di tempat mereka, rasai kesusahan mereka, fikirkan kebimbangan mereka, bukan sekadar formula semata-mata, insya-Allah tindakan itu akan seiring dengan apa yang diperlukan dan diharapkan oleh rakyat,” katanya. -UTUSAN