Dewan Rakyat: Ahli Parlimen nyanyi lagu Misteri Mimpi Syakilla

Dewan Rakyat: Ahli Parlimen nyanyi lagu Misteri Mimpi Syakilla semasa perbahasan

Kalam Salan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat menjadi pentas konsert seketika apabila Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan mendendangkan lagu Misteri Mimpi Syakilla nyanyian Wings sewaktu sesi perbahasan Belanjawan 2024 hari ini.

Katanya, beliau menyanyikan lagu itu sebagai peringatan kepada kerajaan supaya mengagihkan peruntukan belanjawan yang diumumkan dengan sewajarnya.

“Jangan Belanjawan 2024 ini macam Misteri Mimpi Syakilla, liriknya menceritakan kisah seorang lelaki yang memuji, berjanji dan taat setia kepada kekasihnya Syakilla, masa belum dapat, bukan main lagi.

“Biarpun engkau menjelma di sini aku berdiri, ku menanti. Walau hilang ceritamu di hati tetap abadi sentuhanmu…itu sebelum dapat,” katanya dengan nada menyanyi.

Katanya, apabila peruntukan sudah disediakan, pihak kementerian tidak boleh buat-buat lupa kepada golongan memerlukan.

“Bila dah dapat (peruntukan), orang dan rakyat datang tanya, mana Syakilla, siapa Syakilla, sekali dia jawab, aku pun tak tahu,” katanya yang disambut dengan reaksi gelak ketawa di dewan Parlimen.

Beliau juga sempat mempromosi makanan tradisional jawa di Sabak Bernam dengan menyebut setiap makanan menggunakan alunan lagu Havana dendangan penyanyi Amerika Syarikat (AS), Camila Cabello.

Selain itu, Kalam mengkritik janji-janji yang pernah dibuat oleh parti-parti kerajaan dengan cara bertalkin terutama dalam pilihan raya lalu antaranya harga minyak dan pemansuhan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Apabila mereka bertanya, maka, jawablah dengan jelas dan lancar. Sudahkah kamu kukuhkan nilai ringgit, jawablah sudah, sudahkah kamu turunkan harga minyak, jawablah sudah. Sudahkah kamu hapuskan hutang PTPTN sebagaimana kamu berkempen, jawablah sudah. Sudahkah kamu beri pendidikan percuma, jawablah sudah.

“Merujuk harga minyak, janganlah beri alasan, itu cakap 2018. Saya bukan kira tahun ya. Kalau cakap tahun 1511 pun saya akan tuntut. Kalau Alfonso de Albuquerque kata menang lawan Melaka, kita turunkan harga minyak. Kalau sekarang ini, dia masih hidup, saya akan jumpa dan tanya dia sama ada dia dah turunkan harga minyak,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya