KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat tertangguh lebih 15 minit apabila ahli-ahli Parlimen berbalah mengenai isu penggunaan istilah kafir, zionis dan yahudi semasa sesi perbahasan Belanjawan 2024.
Ia bermula apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menyatakan bahawa pelbagai hujah dan pendirian dilontarkan dalam empat hari perbahasan minggu lalu didapati mendorong ke arah perkara-perkara sensitif yang mengguris hati.
Katanya, ia mengeruhkan suasana, menyentuh sensitiviti keharmonian, bersifat label-melabel antara ahli Parlimen seperti kafir, zionis dan yahudi.
“Peraturan mesyuarat menyatakan adalah salah menggunakan perkataan yang menaikkan perasaan sakit hati dan bermusuhan antara satu kaum lain dan saya menyeru supaya menghentikan isu pernyataan ini, apatah lagi sekarang dalam suasana tidak kondusif langsung dan lain-lain perkataan.
“Ahli Parlimen hendaklah menunjukkan tingkah laku terpuji semasa mengenengahkan isu rakyat dan negara, menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak menggunakan sebagai medan politik kumpulan mahupun individu,” katanya semasa menyampaikan pemasyhuran di Dewan Rakyat hari ini.
Justeru, beliau meminta Ahli Parlimen supaya membuka lembaran baharu dan memadamkan isu panas yang berlaku minggu lalu.
“Biarlah perbahasan berlandaskan isu membela nasib rakyat, saya tidak akan bertolak ansur lagi dan akan mengambil tindakan sekiranya isu dan perkataan dibangkitkan lagi.
Pada masa sama, beliau juga memberi peringatan bahawa isu peribadi yang dibangkitkan dan dilaporkan di luar dewan tidak harus diungkit dalam dewan dan hendaklah diselesaikan di luar dewan serta tidak menyebut kelakuan atau sifat mana-mana ahli-ahli Parlimen atau pegawai kerajaan.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong tampil mengucapkan terima kasih kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana beliau menganggap sebagai mangsa kepada penggunaan istilah tersebut.
“Apa yang berlaku pada 18 Oktober lalu, Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) mengatakan saya yahudi merujuk kepada hansard, dia kata saya yahudi, dia tidak tarik balik.
“Pendang (Datuk Awang Hashim) pula dia kata saya zionis, kali pertama dia sebut dia tarik balik, lepas itu dia sebut lagi, saya merujuk hansard, dia sebut empat kali kata saya zionis,” katanya.
Yang Dipertua Dewan Rakyat meminta beliau mengemukakan bukti dan memasukkan usul supaya boleh diambil tindakan dan berharap isu tersebut tidak berulang.
“Saya bukan zionis dan penyokong yahudi, bila Pendang kata begitu, saya rasa keselamatan saya tergugat. Apabila pegawai dari jabatan dan syarikat dari luar negara datang ke dewan jumpa saya kerana ada mesyuarat dalam jawatan kuasa khas hak asasi, saya tanya kenapa pendirian Amerika Syarikat (AS) dalam isu Gaza.
“Dia kata saya tanya soalan yang menyakitkan hati dia sebab saya mempertahankan mereka dianiaya di Gaza, jadi tak patut Pendang tuduh saya sedemikian,” katanya.
Namun, isu itu menimbulkan rasa tidak puas hati oleh Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd. Misbahul Munir Masduki yang menyifatkan istilah kafir tidak salah digunakan kepada orang bukan Islam dan bukan bermaksud untuk menghina.
“Yang Berhormat cukuplah, apa lagi yang Yang Berhormat nak buktikan, saya kata cukup, cukuplah,” kata Johari.
Tindakan mereka menyebabkan sidang Dewan Rakyat tertangguh lebih 15 minit. -UTUSAN