KUALA KANGSAR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika memancing di Lubuk Batu Mat Gan di Sungai Perak dekat Kampung Tahan Kati di sini kelmarin, diteruskan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).
Anjing pengesan yang diberikan nama Denti dan Lady itu dari Ibu Pejabat K9, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, radius pencarian hari ini diperluaskan sehingga 12 kilometer.
Katanya, radius pencarian pada operasi hari ketiga itu dipertingkatkan dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) ke Jeti Kuala Kangsar.
“Operasi pencarian yang disambung hari ini diteruskan dengan kaedah carian di permukaan sungai manakala dua ekor anjing dari K9 pula memberi tumpuan kepada lokasi mangsa terjatuh di Lubuk Batu Mat Gan.
“Pencarian mangsa melalui Sungai Perak juga dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit di mana carian dilakukan menghala ke hulu sungai,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 12 buah bot daripada pelbagai agensi termasuk milik orang awam digunakan bagi mencari mangsa.
Katanya, usaha mencari mangsa hari ini diteruskan melibatkan 48 anggota bomba termasuk dari BBP Kuala Kangsar dan Parit serta K9.
“Operasi turut dibantu enam anggota polis, empat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain orang awam,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 8.30 malam itu, seorang kerani sekolah dihanyutkan arus deras selepas terjatuh dari bot ketika memancing di Lubuk Batu Mat Gan bersama dua rakannya.
Mangsa, Muhammad Faiz Azam berusia 33 tahun bertolak dari Jeti Kampung Jarau untuk memancing udang sebelum bot yang dinaiki terlanggar batu di tengah sungai sehingga mengakibatkan enjin bot tersangkut.
Insiden itu menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian hadapan bot terjatuh ke dalam sungai sebelum dibawa arus dan tenggelam. – UTUSAN