KUALA LUMPUR: Pemuzik terkenal, Datuk Acis selamat menjalani prosedur khusus di Institut Jantung Negara (IJN) bagi merawat masalah jantung yang dihadapinya baru-baru ini.
Perkara tersebut dimaklumkan isterinya yang juga penyanyi, Datuk Sheila Majid menerusi satu hantaran di Instagram hari ini.
“Suami saya, Acis telah dimasukkan ke IJN Isnin lepas kerana mengalami sukar bernafas dan pedih ulu hati. Selepas menjalani pemeriksaan, pihak hospital mengenal pasti keadaan luar biasa pada jantungnya.
“Acis telah menjalani prosedur angiogram pagi jumaat lalu, disusuli prosedur angioplasty. Alhamdulillah kedua-dua prosedur itu berjaya.
“Beliau kini masih dirawat di hospital untuk pemantauan dan akan dibenarkan pulang tidak lama lagi. Insya-allah,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Sheila meluahkan rasa syukur kerana masalah yang dihadapi suaminya itu dapat dikenal pasti lebih awal.
“Syukur kerana semua telah berakhir, kini dia perlukan rehat.
“Saya dan Acis berterima kasih kepada doktor, jururawat dan semua kakitangan IJN atas perkhidmatan yang memuaskan bagi keselesaan Acis. Juga kepada jururawat yang bersilih ganti menjaga Acis sewaktu ketiadaan saya di sana.
“Terima kasih semua atas doa, kami amat menghargainya. saya bersyukur kepada allah kerana masalah ini dikesan awal. Syukur Alhamudlillah,” luahnya.