PETALING JAYA: DAP menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan tatatertib terhadap penganjur yang mempamerkan unsur kekerasan dan bersenjata di sekolah yang dikatakan terlibat dalam Minggu Solidariti Palestin.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP menentang sebarang bentuk keganasan khususnya di peringkat sekolah melibatkan murid di usia muda.
“Program seumpama ini hanya akan memberi mesej dan pengajaran yang salah kepada generasi muda.
“Oleh itu, DAP menggesa supaya KPM mengambil tindakan tatatertib yang tegas terhadap pihak yang menganjurkan program ini dan menghalang sebarang program seumpamanya daripada berulang.
“Di sebalik gesaan ini, kami tetap berpendirian akan terus bersolidariti dengan rakyat Palestin di atas prinsip kemanusiaan.
“Kami juga akan sentiasa mendukung pendirian kerajaan Malaysia untuk bersuara lantang di pentas dunia demi perjuangan membebaskan Palestin dan mengembalikan hak dan wilayah mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Siew Fook berkata, memandangkan keadaan itu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, KPM harus mempertimbang semula penganjuran program Minggu Solidariti Palestin di sekolah-sekolah.
“KPM harus menggunakan pendekatan lebih sesuai menyampaikan mesej dalam kalangan murid sekolah.
“Program di sekolah sepatutnya memupuk semangat cintakan keamanan sejagat dan menerapkan nilai-nilai kemanusiaan dalam membentuk sahsiah diri.
“Hubungan dan pemahaman silang budaya serta perasaan hormat-menghormati sesama rakan-rakan sebaya daripada latar belakang berlainan juga harus dipupuk,” katanya.
Baru-baru ini, KPM dilaporkan akan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober hingga 3 November ini bertujuan mendidik nilai-nilai manusiawi, termasuk hak asasi manusia dan sifat ihsan, dalam kalangan pelajar.
Selain sekolah, arahan itu juga melibatkan kolej vokasional, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.
Beberapa wakil rakyat telah menyuarakan bantahan dengan antaranya berkata sekolah perlu kekal menjadi ruang neutral untuk pembelajaran dan pemahaman.
Terbaharu, pertubuhan Global Human Rights Federation (GHRF) mengecam gambar kanak-kanak yang memegang senjata mainan, didakwa berkaitan dengan Minggu Solidariti Palestin di sekolah.
Presidennya, S. Shashi Kumar menyifatkannya sebagai ‘mengejutkan dan menakutkan’ dan menggesa kerajaan supaya menghentikan segera program itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam maklum balasnya semalam meminta pihak sekolah mengambil langkah-langkah lebih teratur supaya acara Minggu Solidariti Palestin di sekolah terkawal.
“Kami tidak paksa mana-mana sekolah. Tapi, ia kena kawal supaya tidak menjadi masalah. (Bawa senjata mainan ke sekolah) itu kena kawal,” katanya semalam. – UTUSAN