SEREMBAN: Pelari pecut dari Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, 16, meraih emas acara 100 meter akhir lelaki bawah 18 tahun pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-63 petang tadi.
Atlet Harapan Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) itu mencatatkan masa 10.85 saat menewaskan pelari Sabah, Jad Rizalman Washif yang mencatatkan masa 10.89 saat untuk pingat perak dan atlet Selangor, Danish Irfan Tamrin di kedudukan ketiga dengan masa 10.97 saat.
Ketika ditemui pemberita, Danish Iftikhar yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil titik peluh latihan berterusan selain bantuan yang diberikan oleh bapanya dan juga jurulatih.
“Dalam perlumbaan tadi saya hanya fokuskan kepada larian dan lakukan terbaik, Alhamdulillah dengan rezeki yang Allah berikan ini. Saya selepas ini akan cuba konsisten dengan masa larian yang dilakukan,” katanya yang turut berjaya mencatatkan masa terbaiknya pada perlumbaan separuh akhir yang berlangsung pagi tadi dengan catatan 10.71 saat.
Sementara itu, ratu pecut MSSM kali ini menjadi milik atlet Perak, Nur Ezzati Eliana Suhaidi.
Bagi acara 100 meter perempuan bawah 18 tahun itu, dia mencatatkan masa 12.28 saat sekali gus meraih emas, meninggalkan pelari Sarawak Ormilla Octavia Codday Nyadau di kedudukan kedua untuk pingat perak dengan masa 12.30 saat manakala pelari Johor, Nabilah Natasha Azisyan mencatatkan masa 12.60 saat untuk pingat gangsa.
Acara 100 meter lelaki bawah 15 tahun pula menjadi milik atlet Sarawak, Luis Lexsander Anak Jonathan yang meraih emas dengan catatan masa 11.35 saat manakala bagi acara 100 meter perempuan bawah 15 tahun menjadi milik pelari Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira dengan catatan masa 12.33 saat.
Pelari Sarawak, Ldane Dave Edward Freclee pula muncul juara acara 100 meter lelaki bawah 12 tahun dengan masa 12.27 saat manakala pelari Kedah, Nurul Nabiha Nasrul, menjadi johan acara 100 meter perempuan bawah 12 tahun dengan catatan masa 13.35 saat.
Negeri Sembilan menjadi tuan rumah kejohanan tahun ini yang berlangsung selama lima hari mulai hari ini
Tiga lokasi menjadi venue kejohanan itu iaitu Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V di sini.-UTUSAN.