PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pihak yang menganjurkan kutipan dana kemanusiaan Palestin supaya lebih bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan kutipan itu.
Perdana Menteri berkata, pihak berkenaan diingatkan supaya tidak menggunakan dana itu untuk kepentingan sendiri kerana ia adalah dana untuk kemanusiaan.
Beliau berkata, dana dan sumbangan itu terikat dengan peraturan dan ia perlu diuruskan dengan cekap dan amanah.
“Saya juga nak nasihatkan kepada rakan-rakan di masjid, surau dan pihak yang menganjurkan kutipan supaya lebih bertanggungjawab.
“Jangan guna sumbangan itu untuk bina ‘mahligai’ kita masing-masing dan membelanjakan begitu tinggi untuk keindahan pejabat,” katanya ketika berucap pada majlis agihan sumbangan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di sini, hari ini.
Katanya, tujuan utama dana kemanusiaan ini adalah untuk disalurkan terus untuk perubatan, makanan dan kemudahan asas di Gaza, Palestin.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin dalam ucapannya berkata, beliau merakamkam ucapan terima kasih di atas semangat solidariti dan keprihatinan rakyat Malaysia dalam membantu meringankan beban penderitaan rakyat Palestin.
Menurutnya, beliau amat terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia dalam isu ini dan sumbangan yang diberikan sangat-sangat memberansangkan dan dihargai.
“Saya percaya dengan adanya usaha bersepadu daripada semua pihak, lebih banyak bantuan dari segi dana mahupun barang keperluan dapat disalurkan kepada rakyat Palestin.
“Bagi yang masih ingin menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Palestin, saya sarankan untuk menggunakan platform Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) ini supaya proses penyaluran tersebut berjalan dengan lancar.
“Semoga usaha yang ditunjukkan ini dapat membantu saudara-saudara kita di bumi Palestin,” katanya.
Katanya, setakat ini, AAKRP berjaya mengumpul RM81 juta yang diperolehi daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC), syarikat swasta dan persendirian. – UTUSAN