KUALA LUMPUR: Penting diri sendiri dan tidak berintegriti dipercayai menjadi motif kepada lima anggota polis yang didakwa melarikan seorang lelaki dalam kejadian di sebuah kedai di Desa Petaling, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya selesai menjalankan siasatan berkaitan kes itu.
“Siasatan dijalankan dan kita mendapati motif dipercayai mereka ada kepentingan diri dan kekurangan integriti.
“Kita juga sudah merakam percakapan semua pegawai dan anggota terbabit selepas direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis tetapi belum digantung kerja kerana belum dituduh di mahkamah,” katanya selepas menghadiri program ‘Back to School’ di Victoria Institution, di sini hari ini.
Menurut Allaudeen, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan dan diserahkan kepada Bukit Aman sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam minggu ini.
Jelas beliau, suspek awam yang turut ditahan bersama anggota terbabit untuk membantu siasatan kes juga dibebaskan dengan jaminan polis.
Jumaat lalu, media melaporkan enam lelaki termasuk lima anggota polis ditahan berhubung dakwaan melarikan seorang penganggur dari kedai makan di Desa Petaling di sini.
Mereka berusia antara 27 hingga 42 tahun ditahan dengan lima daripadanya adalah anggota dan pegawai di sebuah balai di Cheras.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin dilaporkan berkata, polis menerima laporan daripada mangsa berusia 26 tahun pada 5.48 petang pada hari kejadian.-UTUSAN