Cukuplah berpaut pada parti Malaya-Pandikar Amin

Cukuplah berpaut kepada parti Malaya-Pandikar Amin

PANDIKAR AMIN MULIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: “Cukup-cukuplah berpaut dan terikat dengan parti yang berpangkalan di Semenanjung. Kini, pemimpin Sabah harus yakin untuk berdiri atas kaki sendiri,”.

Demikian kata Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Bekas Speaker Dewan Rakyat itu berkata, beliau agak kesal melihat masih ada pemimpin-pemimpin Sabah yang ingin berpaut dan terikat dengan parti Malaya sedangkan ada pemimpin yang boleh memimpin parti sendiri.

Katanya, masih belum terlambat untuk negeri Sabah mengamalkan modal politik yang sama seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sentiasa mempertahankan hak mereka di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Di Sabah, kita terlampau mengampu Kuala Lumpur seolah-olah kalau tiada parti Malaya maka, musnahlah Sabah. Sikap pemimpin-pemimin terdahulu yang sebegitu mendatangkan masalah besar kepada Sabah.

“Jadi sebelum terlambat, cukuplah kita dikuasai oleh parti Malaya. Sekarang dengan jajaran politik baharu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS), biar Sabah tentukan acuan politik kita sendiri,” katanya.

Menurut beliau, modal politik yang diamalkan GPS di Sarawak adalah yang terbaik dalam memastikan suara pemimpin Sabah terus didengari.

Pandikar Amin berkata, beliau amat kesal kerana semasa mereka muda dahulu, apabila bermesyuarat bersama Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad mereka hanya mengikut apa sahaja diputuskan Persekutuan.

Tetapi kini, pemimpin Sabah tidak lagi begitu. Pemimpin sekarang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pemimpin di peringkat Persekutuan.

“Apabila saya menghadiri mesyuarat kerajaan Perpaduan, saya anggap diri saya sama seperti Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana saya menjadi Speaker Dewan Rakyat selama 10 tahun.

“Jadi, apa kurangnya dengan kepimpinan anak-anak Sabah ini. Masih tidak yakin dengan pimpinan sendiri?,” katanya.

Mengulas tentang keperluan memperkukuh Blok Borneo, Pandikar Amin berkata, satu-satunya medium yang boleh menyatukan Sabah dan Sarawak adalah menerusi Blok Borneo.

Hanya melalui Blok Borneo, suara pemimpin Sabah dan Sarawak akan lebih kuat dan didengari.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN