Calon Bebas jangan guna nama saya - Adnan Yaakob - Utusan Malaysia

Calon Bebas jangan guna nama saya – Adnan Yaakob

ADNAN Yaakob ditemui di Felda Kemasul hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Tan Sri Adnan Yaakob menasihatkan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli agar tidak menggunakan namanya untuk memancing undi sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Tegas bekas Menteri Pahang itu, beliau tidak mengenali secara rapat dengan calon Bebas terbabit, sebaliknya hanya mengetahui hubungan bapa dan datuk calon sekadar kawan.

Sebaliknya Adnan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai berkata, beliau tidak mempunyai masalah jika calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam ingin menggunakan namanya untuk berkempen sekiranya beliau masih laku di kawasan ini.

“Saya tidak hendak memburukkan orang, tapi nama saya dijual juga. Ini tidak baik tapi terpulang kepada pengundi.

“Yang saya tahu arwah tok (datuk) dia (calon Bebas) dengan arwah ayah saya adalah sahabat. Ayah dia (calon Bebas) pun saya tidak berapa rapat, apatah lagi dengan dia. Tidak lebih tidak kurang,” katanya ketika ditemui di Felda Kemasul di sini hari ini.

Adnan diminta mengulas cara kempen calon Bebas yang didakwa menjaja namanya bagi meraih sokongan pengundi Pelangai.

Pada masa sama, kemunculan Adnan itu menutup spekulasi bahawa kononnya beliau tidak lagi mendukung BN selepas satu video mengkritik UMNO tular pada Ogos lalu.

Mengulas lanjut mengenai kempen itu, Adnan berkata, beliau memang ingin membantu kemenangan calon BN pada minggu kedua PRK Pelangai.

Katanya, beliau mengambil pendekatan turun padang bertemu pengundi sehingga waktu kempen tamat pada tengah malam Jumaat ini.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru, iaitu Amizar yang dicabar calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan Haslihelmy.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya