Calon bebas dinasihat usah buang duit bertanding PRK Jepak

Calon bebas dinasihat usah buang duit bertanding PRK Jepak

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mereka yang berhasrat mahu menjadi calon bebas untuk bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Jepak di Sarawak dinasihatkan agar melupakan angan-angan tersebut.

Demikian nasihat oleh Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof ketika ditanya mengenai situasi menjelang PRK kerusi berkenaan.

Malahan beliau dalam nada optimis menaruh keyakinan tinggi bahawa calon yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mampu menang bergaya pada 4 November depan.

“Sesiapa ada fikir mahu bertanding, tidak payahlah sebab buang duit sahaja dan lebih baik bagi kita (GPS) menang percuma,” katanya secara berjenaka ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) di sini hari ini.

PRK Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Talip Zulpilip pada 15 September lepas yang menguasai kerusi tersebut selama enam penggal lalu sejak 1996.

Semalam, Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan Iskandar Turkee mewakili PBB sebagai calon untuk blok politik tersebut dan setakat ini hanya Parti Bumi Kenyalang mengumumkan calon bagi PRK itu melibatkan sejumlah 22,804 pemilih.

Fadillah namun menjangkakan, ada kemungkinan beberapa individu akan muncul sebagai calon bebas bagi memastikan GPS menghadapi cabaran mempertahankan kerusi Jepak.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, GPS bukanlah gabungan yang hanya bekerja keras ketika ada sebarang pilihan raya, malah sentiasa berbakti kepada rakyat sepanjang masa dan yakin GPS akan terus diterima masyarakat tempatan di kawasan itu.

Menyentuh mengenai calon yang dikemukakan blok itu, beliau menambah, bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak tersebut amat berpengalaman luas selain memiliki rekod perkhidmatan awam amat cemerlang.

Ketika Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 2021 lalu, Allahyarham Talib telah menewaskan tiga calon lain dengan memperoleh majoriti selesa 4,243 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya