SABAK BERNAM: Kejadian langit hijau pada malam tadi mencuri perhatian sebahagian besar penduduk di sekitar Sungai Besar di sini, malam tadi.
Malah, beberapa keping gambar sempat ditangkap oleh seorang penduduk yang merakam kejadian tersebut di sebuah taman perumahan dan kemudian memuat naiknya ke dalam media sosial.
Gambar tersebut kemudian turut menarik perhatian netizen dan sebahagiannya turut mengaku menyaksikan kejadian yang dianggap pelik itu.
Seorang pengguna yang menggunakan akaun Facebook (FB) Man Toya berkata, cahaya hijau yang dilihatnya itu mencetuskan tanda tanya.
“Sungai Besar kenapa terang sangat cahaya ini dan bergerak,” katanya menerusi hantaran itu.
Dalam pada itu, pengguna yang menggunakan akaun FA dan Amirul menyedari penampakan cahaya hijau itu di hadapan rumahnya.
“Habis sahaja azan Isyak, ia terus hilang dan kejadian itu aneh kerana berlaku di depan rumahnya yang menghadap jalan.
“Belakang rumah saya laut, tetapi saya nampak depan rumah, (mustahil nelayan) candat sotong dekat jalan, pelik,” jelasnya.
Namun, pemilik akaun Farida pula mendakwa cahaya itu datang daripada arah bot nelayan yang melakukan aktiviti mencandat sotong di laut berdekatan.
“Cahaya itu dipercayai dari bot nelayan di kawasan bagan berhampiran. Namun, cahaya hijau di angkasa itu dipercayai berlaku dalam tempoh singkat dan keadaan langit kembali gelap,” ujarnya. – UTUSAN