PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) syarikat penerbangan MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) berkuat kuasa hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, penggantungan itu dibuat di bawah Peraturan 193(3), Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016 selama 90 hari sementara menunggu siasatan lanjut oleh pihak CAAM.
Jelas beliau, pihaknya menjalankan audit keselematan ke atas MYAirline dari 29 Mei hingga 1 Jun lalu bagi pembaharuan AOC dan pada masa itu, tiada penemuan yang menunjukkan terdapat masalah kewangan.
Katanya, elemen senarai semak penunjuk kewangan seperti dalam Dokumen 8335 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) juga dimasukkan dalam proses audit keselamatan.
“Sebagai sebahagian daripada proses audit keselamatan, pemegang AOC perlu menyediakan bukti kemampuan kewangan kepada CAAM bagi memastikan pengendali operasi udara mempunyai sumber kewangan untuk menjalankan operasi yang dirancang.
“Sekiranya timbul isu kewangan, pemberitahuan bertulis perlu diberikan segera kepada CAAM bagi memastikan tiada sebarang kompromi terhadap keselamatan operasi.
“Sehingga ke hari ini, MYAirline tidak menghantar sebarang notis pemberitahuan kepada CAAM seperti yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, CAAM menjalankan audit keselamatan terperinci untuk menilai keupayaan dan kecekapan pengendali operasi udara dalam bidang pengangkutan udara komersial, operasi dan airworthiness.
Sebagai badan kawal selia teknikal bagi industri penerbangan di Malaysia, CAAM bertanggungjawab mengawasi segala aspek teknikal pengoperasian udara bagi memastikan semua piawaian keselamatan dan sekuriti dipatuhi.
Katanya, CAAM mengeluarkan AOC bagi memberi kelulusan kepada pengendali operasi udara untuk terlibat dalam pengoperasian pesawat tertentu.
Beliau berkata, antara aspek utama yang dinilai untuk pemberian dan pembaharuan AOC adalah kemampuan pihak pengendali operasi udara untuk menjalankan pengoperasian yang selamat dan selaras dengan peruntukan spesifikasi operasi.
“Penggantungan sementara operasi MYAirline pada 12 Oktober 2023 tanpa pemakluman awal kepada CAAM telah menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan awam dan integriti keseluruhan operasi penerbangan awam di Malaysia.
“Audit keselamatan terperinci akan dijalankan ke atas MYAirline semasa penggantungan sementara ini untuk menilai semula keupayaan syarikat penerbangan itu,” katanya.
Pada masa sama, katanya, sebarang pelanggaran peraturan oleh pemegang AOC akan diuruskan mengikut Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CAD).
CAAM mengingatkan semuapemegang lesen untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan di samping memastikan pematuhan yang ketat. – UTUSAN