Bukit Rambai catat IPU tertinggi, elak pembakaran terbuka

Bukit Rambai catat IPU tertinggi, elak pembakaran terbuka

PEMANDANGAN sekitar Bandaraya Melaka terjejas akibat jerebu ketika tinjauan di Bukit Baru, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat dengan kawasan Bukit Rambai kekal merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 153 setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Rosli Mustafa berkata, susulan itu orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan pembakaran terbuka.

Kata beliau, tindakan melupuskan sisa atau sampah sarap melalui kaedah itu hanya memburukkan lagi keadaan.

“JAS akan melakukan rondaan mencegah pembakaran terbuka. Jadi kita mohon kepada semua untuk tidak melakukan pembakaran waktu ini.

“Kita turut membuat kawalan pelepasan terhadap pencemaran udara dan akan terus menjalankan kawalan itu sehingga situasi pulih. Usaha ini penting dalam mengawal pencemaran yang berpunca di peringkat tempatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Semakan melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) mendapati, Bandaraya Melaka turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 152 sementara kualiti udara sederhana di Alor Gajah dengan IPU 100.

Tambah Rosli, jerebu yang melanda Melaka ketika ini dipercayai berpunca daripada faktor rentas sempadan.

Menurutnya, arah tiupan angin juga mempengaruhi situasi jerebu ketika ini.

“Kita akan terus memantau status jerebu di Melaka bagi memastikan ia dapat dikawal dan ditangani sebaik mungkin,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya