PUTRAJAYA: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib malang dialami pemilik agensi pengurusan umrah, Emraz Travel and Tours setelah lesen syarikatnya digantung sejak Julai lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Datuk Dr. Zulkarnain Endut itu bukan sahaja diculik, malah keretanya dicuri sekumpulan jemaah yang berang terkandas lama.
Perkara tersebut didedahkan aktivis bebas yang juga penanggung sementara operator itu, Harik Fauzi ketika dtemui di sini bagi mengulas pelan penjadualan dilakukan ketika ini.
“Saya kesal dan sedih dengan insiden jenayah ini sebab usaha pemulihan Emraz sedang berjalan lancar namun ada jemaah tidak sabar bertindak amat keterlaluan pula,” katanya.
Bercerita lanjut, beliau berkata, kejadian itu berlaku awal pagi Jumaat lalu selepas mereka berdua bertemu seorang jemaah bagi membincangkan isu penerbangan yang tertunda.
Setelah habis pertemuan di sebuah restoran nasi kandar di Taman Melati, Kuala Lumpur itu, beliau pulang berasingan manakala mangsa pergi ke kereta diletakkan berhampiran.
Jemaah itu yang mengekorinya dengan beberapa orang tidak dikenali bertindak memegang baju mangsa tersebut sebelum membawa keretanya ke kawasan gelap tidak jauh dari situ.
Zulkarnain, selepas itu ujar Harik ditolak keluar dan diherdik dengan pelbagai tohmahan selain bajunya ditarik kuat sehingga terkoyak serta diberikan amaran berbaur ancaman.
“Selepas sejam diugut, mangsa dipaksa membuat video pengakuan berhutang sebanyak RM25,000 dengan mereka dan dipaksa menandatangani beberapa dokumen,” jelasnya.
Tidak cukup dengan itu ujarnya, mangsa diarahkan pula membuat pemindahan wang dan kemudian dipaksa mengeluarkan wang RM5,000 dari sebuah mesin juruwang automatik.
Selepas itu, telefon bimbit dan kereta mangsa dirampas kumpulan berkenaan sebelum beliau dihantar balik ke rumahnya di Presint 14 di sini dengan perkhidmatan e-panggilan.
Harik menambah, Zulkarnain sudah membuat laporan pada petang hari tersebut di Balai Polis Presint 7 di sini dan kes itu dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.
Meskipun insiden penculikan selama tiga jam itu tidak menyebabkan kecederaan serius, namun beliau menyifatkan tindakan kumpulan berkenaan sebagai amat melampaui batas.
“Secara jujur, saya dan mangsa amat terbuka untuk berbincang dengan jemaah yang ada masalah terkandas penerbangan tetapi bukan diselesaikan secara kasar begini,” katanya.
Beliau walau bagaimanapun menganggap kejadian itu tidak akan melemahkan semangat dirinya membantu Emraz yang melalui fasa sukar pemulihan ditetapkan pihak berwajib.
Awal Julai lalu, Emraz mula melaksanakan program intensif dikenali sebagai Penjadualan Semula Umrah setelah lesennya digantung Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan masih lagi boleh melakukan pelan pemulihan untuk jemaah terkandas sebelum ini.
Kemelut melanda syarikat berpunca akibat gangguan aliran modal itu menyaksikan Emraz diletakkan di bawah pengurusan baharu serta memerlukan suntikan dana tambahan. – UTUSAN