IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap sedia menghadapi musim Monsun Timur Laut dengan memberi perhatian serius terhadap kawasan riadah berisiko seperti gua dan tanah tinggi.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pihaknya akan memastikan tahap keselamatan di kawasan tersebut terjamin menjelang Monsun Timur Laut pada November ini.
“Sebagai contoh, Perak merupakan sebuah negeri yang mempunyai banyak gua batu kapur yang menjadi tarikan pelancongan untuk tujuan aktiviti riadah.
“Riadah di gua menarik pengunjung domestik dan pelancong luar, jadi saya meminta Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (MOCSAR) memberi perhatian yang serius untuk memastikan tahap keselamatan pada musim tengkujuh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2022 JBPM Negeri Perak di Ibu Pejabat JBPM Perak di sini hari ini.
Menurut Abdul Wahab, pada musim tengkujuh, keadaan gua akan menjadi lebih gelap dan paras air juga akan meningkat lebih daripada biasa.
Beliau berkata, pihaknya mengambil iktibar kejadian sekumpulan remaja terperangkap dalam gua yang dilanda banjir di Thailand pada 2018, untuk memastikan kawasan rekreasi yang melibatkan gua dipertingkatkan dari segi ciri-ciri keselamatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Wahab berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tapah dan Simpang Pulai sememangnya diberikan latihan khusus dan bersiap siaga sekiranya berlaku kemalangan di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands, Pahang.
“Ini kerana kawasan itu merupakan dua laluan utama ke kawasan peranginan tersebut.
“JBPM bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat rondaan pada musim tengkujuh,” katanya. – UTUSAN