Bomba masih kekurangan anggota PPDA - Utusan Malaysia

Bomba masih kekurangan anggota PPDA

NORDIN Pauzi (tengah) melekatkan patch PPDA kepada pegawai yang menamatkan kursus di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara di Tronoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Sebanyak 302 kekosongan penjawatan dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melibatkan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nordin Pauzi berkata, setakat ini, terdapat 643 anggota PPDA di seluruh negara yang ditempatkan di 45 balai bomba.

“Bagi seluruh negara, penjawatan bagi PPDA ini adalah sebanyak 945 dan kita sasar kekosongan itu dapat diisi dalam tempoh setahun.

“Bagaimanapun, pengisian jawatan itu mungkin tidak sepenuhnya berikutan beberapa faktor termasuk ada anggota yang bersara, kenaikan pangkat dan bertukar selain tidak ‘fit’ lagi untuk menyelam.

“Kalau dapat 100 peratus pun, mungkin sekejap sahaja, mungkin setahun lepas itu mereka pun naik pangkat. Anggota PPDA ini cemerlang, apabila mereka naik pangkat, maka mereka tidak lagi kerja di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Penyelam Keselamatan Awam (PSD) siri 2/2023 dan Pemakaian Patch PPDA di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara di Tronoh di sini hari ini.

Menurut beliau, kekosongan jawatan itu disifatkan tidak begitu serius kerana ia perkara biasa yang berlaku disebabkan faktor-faktor tersebut selain anggota yang terpilih perlu berkebolehan dan kompeten.

Katanya, sebagai anggota daripada unit penting dalam JBPM, mereka memiliki pengalaman dan kemahiran tinggi menangani insiden di dalam air.

“Ada anggota yang telah dilantik tetapi tidak fit untuk selam sedangkan mereka perlu kompeten bukan sahaja dari segi kemahiran tetapi juga fizikal.

“Jadi, kita bekerjasama dengan pihak lain contohnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan khusus kepada anggota dan insyaallah melalui latihan berterusan, kita mampu melengkapkan penjawatan ini.

“Kita mahukan yang terbaik, jadi kita meletakkan skala tinggi di mana mana-mana anggota yang tidak fit, dia perlu undur diri jadi kita boleh buat pelan penggantian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya