KULAI: Tindakan membocorkan maklumat sebelum penguat kuasa membuat pemeriksaan bekalan beras di pasar raya adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan tidak menggambarkan situasi sebenar kekurangan beras yang dihadapi pengguna.
Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Johor, Noorman Kamsani berkata, ini kerana ada pegawai yang mewakili pemimpin tertinggi kerajaan negeri telah memaklumkan kepada pihak pengurusan pasar raya di sini sebelum datang membuat tinjauan.
Katanya, ini menyebabkan peniaga dapat mengambil tindakan awal untuk menampung bekalan beras tersebut dan memberi maklum balas yang tidak tepat kepada umum.
“Ini tidak jujur sama sekali sedangkan sebelum ini pasar raya terbabit mengalami masalah bekalan beras. Bila orang ramai merungut beras tiada dan pemimpin pun datang lihat bekalan beras ada di pasaran, ini tidak betul.
“Ini bukan gambaran yang tepat terpaksa dilalui oleh pembeli, bila pemimpin tertinggi maklum mahu datang sudah pasti pasar raya terbabit akan sediakan bekalan beras,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Kempen Bazar Amal dan Kempen Derma Darah di pusat beli belah Aeon Mall Kulaijaya, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Johor, Enny Suhailis Suleiman; Setiausaha Agung MTPN, Masrudi Abdul Rahman dan Presiden kebangsaan Yayasan Masyarakat Lestari Malaysia (YMLM), Dany Teh Thiam Fatt.
Beliau mengulas tindakan seorang pemimpin negeri ini yang melakukan lawatan ke sebuah pasar raya di Taman Scientex, Pasir Gudang minggu lalu dengan memaklumkan kehadirannya kepada pihak pengurusan pasar raya terbabit.
Noorman berkata, sepatutnya pemimpin tersebut membuat pemeriksaan secara mengejut bersama agensi penguat kuasa untuk mengetahui realiti yang sebenar.
“Pemimpin seharusnya menyelami masalah rakyat yang berlaku hari ini, jika begini caranya sampai bila masalah bekalan beras tidak akan selesai.
“Mereka perlu turun padang untuk lihat apa yang berlaku, bagaimanapun rakyat tersepit antara kos perbelanjaan yang tinggi dan kekurangan bekalan makanan seperti beras,” ujarnya. –UTUSAN